FOTO Aizuddin Saad
FOTO Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Pasukan Petugas Khas yang menjalankan siasatan di pejabat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Jalan Sultan Ismail, di sini, pagi ini, selesai melakukan tugasnya, pada 6.30 petang.

Tinjauan mendapati sebuah trak polis membawa kira-kira 20 kotak dipercayai mengandungi dokumen berkaitan daripada pejabat utama 1MDB di tingkat lapan Menara IMC.

Sementara itu, lapan orang dipercayai anggota pasukan itu keluar dari pintu hadapan dengan membawa sebuah kotak dipercayai berisi dokumen dan CPU.

Turut kelihatan beberapa anggota polis mengawasi kawasan itu dengan ketat.

Pasukan itu tiba di pejabat utama 1MDB itu pada 10.30 pagi.

Namun, tidak diketahui apakah Pasukan Petugas Khas akan datang lagi ke pejabat 1MDB ini bagi menjalankan lagi apa-apa siasatan.

Pasukan yang ditubuhkan membabitkan Pejabat Peguam Negara, Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi menjalankan siasatan berikutan dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) kononnya wujud penyaluran dana berkaitan 1MDB ke akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum itu, 1MDB mengesahkan beberapa pegawai pasukan petugas khas mengunjungi pejabatnya.

“Mereka diberikan beberapa dokumen dan bahan untuk membantu dalam siasatan yang kini sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 8:28 PM