Oleh Siraj Mohd Zaini


Kuala Lumpur: Sebanyak 34,565 saman dikeluarkan sepanjang tiga hari Op Selamat 7/2015 di seluruh negara sejak Jumaat lalu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Fuad Abd Latiff berkata, saman yang dikeluarkan itu atas pelbagai kesalahan seperti melepasi had laju, motosikal, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memotong laluan.

Menurutnya, pihaknya menggunakan kamera yang turut digunakan bagi mengesan had laju untuk pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lain.

"Hari pertama Op Selamat merekodkan 8,654 saman, Sabtu 11,473 dan semalam sebanyak 14,438 saman dikeluarkan.

"Jadi kami berharap pengguna jalan raya sentiasa patuh kepada arahan yang dikuatkuasakan kerana tiada rayuan akan diberi kepada saman yang dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, 4,184 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh sama, katanya.

Sebanyak 68 kes daripada jumlah itu adalah kemalangan maut dengan membabitkan 74 kematian.

Menurutnya, penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 48 orang.

"Ia adalah permulaan yang agak buruk bagi Op Selamat pada tahun ini kerana nisbahnya lebih 25 orang maut sehari.

"Kebiasaannya kita hanya mencatatkan 18 kematian sehari dan matlamat Op Selamat adalah untuk mengurangkan sehingga 13 orang," katanya dalam sidang media, hari ini.

Op Selamat 7/2015 sempena Aidilfitri mula dilancarkan sejak 10 Julai lalu sehingga 24 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 1:00 PM