Antwerp: Ireland memberi isyarat Malaysia harus mengambil mengambil serius pertemuan menentang mereka selepas membuat kejutan dengan mengikat Britain 2-2 dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia semalam.

Skuad bimbingan Craig Fulton itu yang turun buat kali pertama dalam aksi Kumpulan B menampilkan persembahan bertenaga untuk bangkit daripada ketinggalan dua gol bagi memberi amaran kepada Malaysia supaya tidak memandang mudah cabaran mereka apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium KHC Dragons esok.

“Keputusan ini baik untuk kami. Seperti pasukan lain, fokus kami ialah untuk layak ke Sukan Olimpik. Saya percaya pemain akan belajar daripada perlawanan ini untuk pertemuan dengan Malaysia.

“Saya sebenarnya tidak kisah dengan kekuatan Malaysia kerana lebih fokus terhadap permainan kami. Tapi saya memang tidak nafikan Malaysia pasukan bagus dan mempunyai beberapa pemain berpengalaman. Mereka sukar ditewaskan dan Khamis ini (esok) tiada bezanya.

“Secara tatikalnya mereka juga bagus kerana mengamalkan corak permainan terbuka gaya Asia yang mendatangkan masalah buat mana-mana pasukan. Tapi kami memang mahu menewaskan Malaysia dan saya percaya kami boleh menang, cuma pemain harus bangkit dengan aksi yang lebih baik daripada hari ini (semalam),” kata jurulatih berasal dari Afika Selatan.

Ireland dan Malaysia pernah bertemu beberapa kali dengan kali terakhir mereka tewas 2-4 di Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan tahun lalu.

Malaysia yang hadir di kejohanan ini dengan ranking ke-12 dunia, menang aksi pertama ketika menewaskan China 3-2 dan kini memburu kemenangan ke atas Ireland untuk mencerahkan peluang menduduki tempat yang lebih baik di suku akhir.

Mengenai perlawanan menentang Britain, Fulton berkata, secara keseluruhan anak buahnya yang digelar Green Machines beraksi baik cuma nasib tidak menyebelahi mereka apabila tiga percubaan terkena tiang gol dengan dua daripada berlaku di separuh masa pertama.

Dalam perlawanan itu, England yang berada di kedudukan kelima dunia, mendahului 2-0 pada suku pertama ​dengan gol daripada Barry Middleton dan Chris Griffiths pada minit ke-5 dan 8. Ireland yang menduduki ranking ke-14 membalas dengan jaringan Kyle Good (m-19) dan John Jackson (m-36).

Tiga pasukan teratas daripada kempen di Brasschaat ini layak secara automatik ke Rio de Janeiro tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 8:34 AM