Antwerp: “Kami mahu mencipta sejarah dengan menjadi pasukan Ireland pertama layak ke Olimpik.”

Kata-kata itu tertera dalam buku program pasukan hoki Ireland yang beraksi di kejohanan kelayakan Olimpik Rio 2016 di Brasschaart ini.

Laungan itu sekali lagi ditekankan ketua pasukan Ireland David Harte menjelang pertemuan menentang Malaysia hari ini yang sekali gus menggambarkan mereka bakal memberi laluan sukar kepada Speedy Tigers.

Pemain tinggi lampai yang juga penjaga gol utama Green Machines menganggap mereka serius dalam kempen layak ke Brazil dan akan meneruskan persembahan bertenaga seperti ketika mengikat Britain 2-2.

Dalam perlawanan itu, Ireland bangkit daripada ketinggalan dua gol selain tiga percubaan mereka terkena tiang.

“Kami mempunyai permulaan baik, hampir menang tapi tiada nasib. Tapi setiap pemain kini lebih yakin kerana sedar kami boleh menyaingi mana-mana pasukan.

“Apa yang menggembirakan sikap setiap pemain yang tidak mudah putus asa kerana kami fokus dalam usaha layak ke Olimpik buat kali pertama,” katanya.

Mengenai pertemuan menentang Malaysia, penjaga gol berusia 27 tahun itu menganggap skuad negara bukan asing kerana sudah biasa bertemu, termasuk ketika mereka tewas 2-4 dalam saingan Cabaran Juara-Juara I di Kuantan tahun lalu.

“Saya jangkakan Malaysia akan bermain pantas mengikut gaya Asia, tapi kami sudah bersedia,” katanya.

Ireland sekali lagi akan bergantung kepada ketangkasan Harte yang dianggap antara pemain bintang pasukan itu selain kelicikan John Jackson dan Kyle Good yang menjaringkan gol padang ketika menentang Britain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:22 AM