GAYA eksklusif dapat diterjemahkan.
GAYA eksklusif dapat diterjemahkan.
PENGALAMAN sebuah pengembaraan dari ruang tamu.
PENGALAMAN sebuah pengembaraan dari ruang tamu.
PENGALAMAN sebuah pengembaraan dari ruang tamu.
PENGALAMAN sebuah pengembaraan dari ruang tamu.
RUANG tamu dalam panorama yang dekat dengan alam.
RUANG tamu dalam panorama yang dekat dengan alam.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Anda yang bercadang memberi kelainan sempena Aidilfitri ini, boleh mencuba konsep kertas dinding sebagai pelengkap dekorasi ruang di rumah.

Jika ingin membawa tetamu menikmati suasana atau pengalaman luar biasa, kertas dinding mural antara yang paling sesuai diketengahkan.

Apatah lagi elemen hiasan unik itu kian popular sejak akhir-akhir ini apabila sudah ramai yang mencuba kelainan.

Ia aliran terkini yang lebih segar dan mengubah penampilan ruang untuk kelihatan lebih eksklusif.

Uniknya kertas dinding mural membayangkan pengalaman luar biasa umpamanya ruang tamu dalam sebuah taman yang indah dilatari air terjun.

Latar kehijauan alam semula jadi itu lebih membuai rasa dengan adanya air berpancuran mini.

Nyata sebuah pemandangan indah dapat disajikan buat tetamu tanpa mengira masa. Mungkin juga ia menjadi latar paling istimewa untuk merakam gambar kenangan.

Di meja makan, hiasan meja yang menyerlah dengan dekorasi lebih mengujakan disatukan kertas dinding mural.

Mural yang tidak terlalu sarat dengan gambaran suasana antara tarikan utama kerana keistimewaanya pada paparan warna. Seterusnya detik paling bermakna sebaik menolak daun pintu bilik tidur, sebuah latar panorama yang anda impikan berada di depan mata.

Terpulang sama ada gemar pemandangan semula jadi, suasana bandar terkemuka dunia atau kelopak indah bunga-bungaan segar.

Apabila latar itu disesuaikan dengan dekorasi bilik tidur, ia membawa suasana tidur dan rehat anda lebih privasi.

Ruang santai atau sudut sarapan yang dilatari suasana unik kertas dinding mural panorama pilihan memberi gambaran permulaan hari terbaik atau terapi semula jadi.

Lebih membuatkan anak anda teruja apabila bilik tidur si kecil dihiasi latar menarik sesuai dengan usia mereka.

Di bilik anak perempuan, panorama bunga atau karakter kartun puteri antara pilihan yang dicadangkan.

Begitu juga dengan bilik anak lelaki yang cenderung memilih kertas dinding mural mengikut kesukaan.

Mungkin latar padang bola, kenderaan imaginasi atau karakter kartun lasak menjadi pilihan utama.

Pastinya membuatkan pengalaman di bilik tidur lebih bermakna dan tidak membosankan.

Namun, situasi itu tidak bermakna kertas dinding biasa kurang mendapat sambutan. Ini kerana cita rasa dan bajet setiap pemilik kediaman adalah berbeza-beza.

Antara kelebihan kertas dinding berkenaan ialah warna, corak dan tekstur banyak pilihan.

Ia boleh ditukar apabila dirasakan tidak sesuai atau sudah ketinggalan zaman malah menyerupai kesan kemasan lain seperti kemasan batu, kayu, batu bata dan jubin dengan nilai harga lebih murah tetapi kesan visual yang sama.

Sementara itu, kertas dinding fabrik berbentuk tiga dimensi boleh menyerap bunyi dan memberi kesan senyap serta tenang dalam ruang dalaman.

Kertas dinding tiga dimensi turut menjadi pilihan kerana memperlihatkan tekstur lebih ‘hidup,’ bagaikan menyamai bentuk asal.

Tidak ketinggalan kertas dinding untuk siling turut terkenal aliran masa kini. Ruang siling kini tidak lagi dibiarkan kosong sebaliknya dihiasi dengan latar unik tanpa corak dengan warna termasuk putih dan krim.

Pilihan kertas dinding kalis air sememangnya sesuai untuk ruang yang lasak seperti ruang dapur dan bilik air.

Selain berfungsi memberi nilai baru kepada dinding, kertas dinding boleh menutup kesan retak atau cat lama pada dinding atau menutupi kecacatan pada struktur fizikal dan bangunan.

Terima kasih:

LENTERA CREATIVE HOME

Facebook: Lenteracreative Home

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:06 AM