TAMPIL sebagai titik tumpu ruang.
TAMPIL sebagai titik tumpu ruang.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Dekorasi ruang yang ringkas tapi menampilkan idea penataan luar biasa, antara pilihan kebanyakan generasi muda.

Begitu juga dengan kemasan kertas dinding yang menjadi pelengkap atau titik fokal ruang.

Biasanya ruang yang ringkas dan praktikal sering dikaitkan dengan dekorasi moden dan kontemporari.

Ia membantu kesinambungan ruang untuk tampil lebih selesa dengan susunan perabot yang menyuntik suasana tenang.

Konsep moden yang sinonim dengan gaya ringkas, kombinasi warna menarik dan berasaskan material berbeza mengungkapkan latar selesa, terbuka serta praktikal nyata mencerminkan gaya hidup lebih moden.

Tidak bermakna tatahias ini memerlukan bajet yang besar kerana perkara utama ialah perkaitan antara ruang dan interaksinya dengan penghuni.

Konsep itu mempunyai makna tersendiri bagi setiap individu untuk menzahirkannya mengikut gaya masing-masing asalkan menepati.

Malah, ruang lebih tampil sempurna apabila dinding dilatari kemasan kertas dinding dalam corak atau motif moden.

Elyani Mohamad Ibrahim, 34, tidak melepaskan peluang menghiasi ruang kediaman dengan kertas dinding.

“Saya inginkan kelainan sempena Aidilfitri ini, alham­dulillah ia menjadi kenyataan.

“Suasana benar-benar berbeza. Berada di ruang yang sama sebelum ini kurang impak dekorasinya berbanding suasana selepas ia dipasang kertas dinding,” kata anak kelahiran Paya Dalam, Melaka itu.

Sejak dulu dia dan suaminya, Farid Razali, 37, mengimpikan dekorasi kediaman berlatarkan konsep moden dengan ciri-ciri Islamik.

Malah, pasangan ini juga turut menggunakan khidmat Lentera Creative Home untuk idea dekorasi sempurna dan moden seperti yang diinginkan.

“Apabila mengenakan langsir baru, tidak lengkap pula rasanya jika latar dinding tidak dipasang kertas dinding.

“Corak atau motif dan warna yang tidak terlalu menonjol antara pilihan saya dan suami,” kata Elyani.

Dalam menzahirkan impian dekorasi moden di ruang tamu, bukan saja kertas dinding corak ringkas diketengahkan malah perhiasan lain juga diselarikan.

Suasana ringkas itu tetap menampilkan aura eksklusif apabila reka letak perabot, perhiasan dan pencahayaannya dirancang rapi.

“Kami lebih selesa begini dan ruang nampak lebih luas dengan gaya dekorasi moden tersendiri,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

Namun, konsep moden tidak terhenti di ruang itu kerana bilik tidur utama juga membawa kesinambungan yang sama.

Memilih corak kertas dinding moden dalam rona ungu, membuatkan bilik berkenaan menyuntik aura lebih privasi.

“Ini kerana ia mudah disesuaikan dengan keadaan dan keluasan bilik ini. Nyata lebih selesa dan mengujakan,” kata Elyani yang turut bertugas sebagai doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:05 AM