KESELESAAN anak perlu diutamakan
KESELESAAN anak perlu diutamakan
Muhamaad Razis Ismail


BILIK tidur anak antara bahagian terpenting yang tidak boleh diabaikan ketika menata hias ruang dalaman.

Tersilap konsep dan tidak kena warna diminati boleh membawa padah bukan sahaja membuatkan anak merajuk malah boleh menyebabkan kerugian apabila perlu membuat pengubahsuaian semula.

Apa yang paling penting adalah keselesaan kepada anak sama ada untuk tidur, bermain dan belajar di dalam ruang yang dikhaskan kepada mereka.

Pereka hiasan dalaman, Marlia Ramli berkata, sebelum membuat sebarang keputusan untuk membuat dekorasi di bilik tidur anak, ibu bapa perlu membuat sedikit kajian minat anak.

"Biasanya pada usia empat tahun ke bawah ibu bapa boleh buat dekorasi mengikut kesesuaian. Namun untuk anak berusia empat tahun ke atas kebanyakan kanak-kanak mula cenderung terhadap sesuatu," katanya.

MARLIA
MARLIA

KAJI minat anak untuk tentukan konsep sesuai
KAJI minat anak untuk tentukan konsep sesuai

Marlia yang juga pengasas AD Creative Studio turut berkongsi 10 panduan untuk menghias bilik tidur anak yang boleh diaplikasikan:

1) Menukar kedudukan katil

Kaedah ini dapat memberikan sudut pandangan berbeza kepada ruang. Seolah-olah anak mendapat bilik baharu.

2) Menukar atau menghias cadar baharu

Menukar atau menghias cadar baharu yang bersesuaian dengan konsep yang hendak dibuat. Berhati-hati dalam pemilihan corak, kerana menjadi elemen penting menghubungkan konsep secara keseluruhan serta berkait rapat dengan usia kanak-kanak.

3) Penggunaan warna ceria

Kanak-kanak menyukai warna terang dan bercorak comel. Pemilihan warna yang tepat boleh merangsang minda anak kecil menjadi lebih kreatif dalam tindakan mereka.

4) Pencahayaan

Pencahayaan yang betul membantu kualiti tidur anak menjadi lebih baik. Gunakan lampu berbentuk pelbagai seperti telinga arnab, bintang atau hati yang memberi dimensi baru kepada ruang.

5) Aktiviti dalam bilik

Pastikan ruang dihiasi mempunyai fungsi lain yang tertentu. Jika anak suka melukis, boleh menyediakan ruang privasi kecil di sudut dalam bilik mereka untuk mereka berkarya.

6) Bijak menggunakan semula barang lama dan baharu

Tidak semestinya perlu menukar semua barang, jika kreatif suai padankan semula dengan perabot lama dengan menambah elemen baharu.

7) Berhias mengikut konsep

Jangan menghias secara cacamarba. Lebih elok jika bilik anak dihiasi dengan konsep yang betul. Pegang pada satu kriteria supaya segalanya nampak teratur dan menyerlah.

8) Berani guna mural sebagai dinding utama

Jika anda seorang yang berani dan anak gembira dengan lukisan dinding, anda boleh mengupah profesional untuk menghasilkan mural atau karakter sesuatu atau lakukan sendiri serta lebih dihargai anak-anak.

9) Penstoran

Pastikan anda bijak memilih perabot memiliki penstoran yang baik. Rekaan dan susun atur yang tepat, dapat memberikan impak luas, kemas dan rapi. Permainan dan buku disimpan di tempat yang sesuai

10) Kertas dinding

Selain cat, kertas dinding juga boleh menambah kelainan pada sesuatu ruang. Penggunaan kertas dinding warna pastel menjadikan ruang lebih lembut dan luas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 6:31 AM