TEMPATKAN rak buku supaya suasana kelihatan kemas dan bersih.
TEMPATKAN rak buku supaya suasana kelihatan kemas dan bersih.
CIPTA suasana yang selesa.
CIPTA suasana yang selesa.
PERMAIDANI berbulu pendek amat sesuai diketengahkan.
PERMAIDANI berbulu pendek amat sesuai diketengahkan.
Oleh Faizal Zain

Salam deko! Sebagai sambungan artikel minggu lalu mengenai langkah terbaik mencipta suasana pejabat di salah sebuah bilik dalam rumah anda. Minggu lalu saya menyentuh berkenaan ruang, konsep, penggunaan warna, perabot seperti meja dan kerusi serta teknik pencahayaan yang betul untuk ruang ini.

Jadi pada minggu ini sekali lagi penulisan saya berkisar berkenaan hal sama tapi lebih terperinci dan menghuraikan beberapa aspek seterusnya yang perlu dipertimbangkan saat mencipta ruang pejabat di rumah anda. Selain aspek yang sudah dihuraikan minggu lalu aspek pemilihan langsir atau bidai juga sama penting.

Jika anda sentiasa sibuk, pilih bidai kerana anda tidak perlu membuka dan membasuh pada satu-satu masa. Kemasan tingkap itu membantu anda untuk mengelap seketika saja jika didapati ada habuk. Bidai terdapat dalam pelbagai rekaan dan material antaranya seperti plastik, kayu dan kanvas atau fabrik.

Pilih bidai daripada jenis yang berkualiti walaupun anda terpaksa membelinya dengan harga yang tinggi. Ini kerana, bidai menggunakan tali dan kita sering membuka serta menutup bidai dengan menarik tali itu. Bidai yang kurang berkualiti menyebabkan masalah tali terputus selepas beberapa bulan. Jika anda ingin menjelmakan lebih suasana santai di rumah, pemilihan langsir sesuai buat ruang pejabat anda cuma kaedahnya berbeza berbanding di rumah, ruang tamu atau bilik tidur.

Pemilihan langsir untuk bilik pejabat di rumah seharusnya daripada koleksi polos atau hanya sedikit corak yang kecil. Ini kerana tidak sesuai menggantungkan langsir berbunga dan bercorak pada bilik pejabat di rumah anda. Ia juga seharusnya datang koleksi yang ringkas dan tidak terlalu sarat seperti langsir di ruang lain.

Jika memilih permaidani di ruang pejabat di rumah anda, pilih jenis berbulu pendek dan lebih mampat berbanding permaidani berbulu tebal serta halus. Ini kerana di ruang pejabat di dalam bilik anda, ia mudah memerangkap habuk dari rutin harian termasuk habuk berwarna dari mesin pencetak, habuk dari pengasah pensil dan sisa pemadam.

Jika menggunakan permaidani yang sesuai anda tidak perlu selalu membersihkannya dan suasana menjadi lebih bersih.

Seterusnya pastikan anda meletak sebuah tong sampah kecil di bawah meja pejabat anda itu. Jika punya pilihan, tong sampah berpenutup adalah yang terbaik. Elakkan dari memiliki tong sampah yang mempunyai ruang-ruang terbuka, ini kerana secara tidak sedar habuk dari sampah anda mungkin terkeluar.

Pastikan tong sampah di bilik itu hanyalah untuk membuang bahan-bahan kering seperti kertas dan fail plastik bukan untuk membuang sisa minuman atau makanan. Bagi memastikan suasana lebih nyaman dan selesa, penggunaan penghawa dingin adalah pilihan terbaik kerana ia dapat menampilkan suasana segar dan bersih.

Penggunaan kertas dinding pada dinding di bahagian belakang meja pejabat anda itu juga bakal memberikan impak yang lebih menawan. Kertas dinding buat ruang pejabat seharusnya lebih santai dan ringkas. Warna kertas dinding juga perlu menggunakan warna-warna yang sesuai untuk ruang pejabat seperti yang diterangkan minggu lalu.

Selepas lengkap menghias bilik pejabat, eleman dekorasi seterusnya dapat membangkitkan aura kerja. Sedikit gambar hiasan pada dinding dapat menyuntik elemen rilek selepas seharian bekerja. Gambar pemandangan dan foto yang positif amat bersesuaian sekali.

Namun, kehadiran gambar hiasan di dinding seharusnya tidaklah terlalu banyak. Jika anda mempunyai gambar peribadi berkenaan kejayaan, ia boleh diletak pada rak kaca bersesuaian. Jika anda gemar memperlihatkan pelbagai gambar itu pada dinding pejabat, elakkan dari menggantungkan setiap gambar di dalam setiap bingkai kerana bilangan yang banyak membuatkan ruang dinding kelihatan berserabut.

Jika anda mempunyai banyak buku-buku dan koleksi bacaan, seeloknya dapatkan rak buku supaya lebih tersusun. Aturkannya buku-buku itu mengikut topik atau abjad supaya anda mudah mencarinya. Selamat mencuba!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:20 AM