ELFIRA (kiri), Ezzrin dan Ezlisa teruja meraikan Aidilfitri di Sungai Petani, Kedah, tahun ini.
ELFIRA (kiri), Ezzrin dan Ezlisa teruja meraikan Aidilfitri di Sungai Petani, Kedah, tahun ini.
Syanty Octavia Amry


Bercuti dan menyambut Aidilfitri di luar negara adalah rutin pelakon adik-beradik, Elfira Loy, 21; Ezlisa Loy, 19; dan Ezzrin Loy, 18; bersama keluarga mereka.

Pergi bercuti sekeluarga adalah saat indah yang menggembirakan keluarga terutama ibu mereka, Filzah Yusoff.

Bagaimanapun, tahun ini semua perancangan terpaksa diubah berikutan pemergian datuk mereka yang meninggal dunia seminggu sebelum kedatangan Ramadan lalu.

Tahun ini , mereka akan meraikan Aidilfitri di Sungai Petani, Kedah bagi merasai semula pengalaman beraya di kampung meski pun tanpa kehadiran datuk di sisi.

Elfira fokus pada pengajian

Mengurangkan aktiviti seni lakonan bagi memberi tumpuan terhadap pengajian yang akan berakhir tahun ini adalah fokus utama Elfira.

Anak kedua daripada empat beradik itu mempunyai tanggungjawab besar kerana selain sibuk belajar dan berlakon dia juga berjinak-jinak dalam perniagaan makanan.

“Disebabkan pihak kolej hanya memberi cuti seminggu, saya akan menghabiskan cuti di Kedah untuk menemani nenek yang keseorangan di sana.

“Selain itu, kami sudah bersiap sedia untuk merasai pengalaman beraya di kampung. Sudah agak lama kami tidak menyambut Aidilfitri di sana.

“Ini adalah masa yang sesuai dan rasanya tidak sabar untuk memasak sendiri rendang, memotong ayam dan pelbagai lagi masakan bersama ibu dan nenek,” katanya.

Ezzrin rindu saat bersama datuk

Menjadi cucu paling rapat dengan datuk membuatkan Ezzrin tidak boleh melupakan kenangan indah mereka bersama.

Menurut anak bongsu ini, apabila bercuti di kampung dia sering mengikut ke mana saja datuknya pergi.

Aktiviti di kampung ialah menemani datuknya bertemu kawan-kawan. Paling tidak boleh dilupakan adalah seorang kawan datuknya yang sering menyajikan mereka dengan udang besar-besar.

“Saya sangat rapat dengan datuk. Suka ikut ke mana saja dia pergi. Mungkin kerana sikap saya yang memang suka melayan dan berbual dengan orang tua menyebabkan saya sangat selesa.

“Apabila datuk meninggal dunia terasa sangat kehilangannya. Tanpanya, pasti perasaan saya berbeza apabila beraya di kampung nanti.

“Kadang-kadang tertanya-tanya juga bagaimana nasib kawan-kawan yang sering dia temui. Mungkin juga mereka merasai perkara sama dengan saya yang begitu merinduinya,” katanya yang seakan-akan masih tidak percaya datuknya sudah meninggal dunia.

Ezlisa tidak cerewet

Gayanya seperti seorang pendiam, tetapi petah apabila diajak berbicara.

Ini termasuk apabila menceritakan mengenai persiapan Aidilfitri yang bakal disambut lusa.

Ezlisa Loy seorang yang tidak cerewet, malah dia bersyukur mempunyai kakak seperti Elfira yang sangat mengambil berat soal kebajikan adik-adik.

Mengikut saja ke mana keluarga pergi bercuti dan menyambut Aidilfitri, Ezlisa tiada sebarang masalah untuk membantah.

Malah, dia juga teruja dan tidak sabar untuk segera pulang ke kampung.

Saya tidak kisah. Apa saja kakak dan mama rancang saya ikut saja. Mengenai warna baju raya sedondon juga saya hanya ikut saja.

“Selalunya mama akan menentukan warna apakah yang akan kami pakai nanti. Biasanya persiapan warna itu akan dibuat saat akhir dan saya hanya ikut saja apa warna yang menarik dan sesuai di mata mama.

“Kerana saya yakin pilihan mama terbaik untuk anak-anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:01 AM