BENG Hai (tengah) mahu pemain beri yang terbaik.
BENG Hai (tengah) mahu pemain beri yang terbaik.

Malaysia akan berdepan ujian paling besar dan getir dengan sejarah bakal tercipta apabila turun menentang India di suku akhir saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, tengah malam ini.

Jika menewaskan juara Asia itu, Malaysia akan menempah tiket ke Olimpik Rio tahun depan, tanpa perlu menunggu aksi separuh akhir, sekali gus menamatkan kemarau penyertaan tiga temasya sejak Sydney 2000.

Setakat ini, selain India yang layak atas tiket pemenang pingat emas Sukan Asia tahun lalu, tiga lagi pasukan - Jerman, Belanda dan Argentina turut mengesahkan tempat selepas menduduki tiga kedudukan teratas dalam satu lagi pusingan kelayakan di Buenos Aires, bulan lalu.

Menyedari hakikat itu, jurulatih negara Tai Beng Hai menuntut pemainnya bermain bermati-matian bagi peluang keemasan dan terakhir untuk ke Brazil.

“Saya sudah arahkan pemain berikan segala-galanya untuk perlawanan ini. Tiada dua hala mengenai perkara ini. Mereka perlu tingkatkan prestasi dan kurangkan kesilapan. Ini detik penentuan dan peluang terbaik kita untuk layak ke Olimpik.

“Tapi pemain sendiri sendiri sedar apa yang mereka perlu lakukan. Saya pasti mereka akan sentiasa fokus dan berdisiplin sepanjang perlawanan selain berikan yang terbaik.

“Doakan kejayaan kami,” katanya menjelang pertemuan membabitkan dua kuasa besar hoki Asia itu di Stadium KHC Dragons.

Menurut jurulatih berasal dari Taiping itu, aksi kelompok lapan pasukan terbaik itu pasti sengit kerana India juga mahu mencari kemenangan bagi mengesahkan lagi status mereka selaku juara Asia.

“Kedua-dua pasukan agak seimbang tapi seperti mereka, kita juga berpeluang menang,” katanya.

Tekanan? “Memang ada. Di peringkat dan situasi seperti ini, sudah tentu semua pasukan berdepan tekanan. Mungkin kecuali India, yang lain pasti ada tekanan.

“Tapi saya melihat dari sudut positif, harap tekanan itu bagus untuk kita supaya pemain dapat berikan yang terbaik.”

Skuad Speedy Tigers akan sekali lagi bergantung harapan kepada Muhamad Haziq Samsul, Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin, Faizal Saari, Sukri Mutalib dan ketua pasukan Muhamad Razie Rahim untuk menggugat pasukan lawan yang diketuai Sardar Singh.

Malaysia turun sebagai pasukan yang memiliki tiga ranking di bawah India yang menduduki tempat kesembilan dunia. India dan Malaysia sudah beraksi 101 perlawanan sejak 1958 dengan 70 daripadanya dimenangi India dan 13 Malaysia. Baki 18 aksi berakhir dengan seri.

Dalam dua pertemuan terbaru, India menang 3-2 di Piala Dunia tahun lalu sebelum giliran Malaysia menundukkan mereka dengan keputusan sama di Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, April lalu.

Selepas kali terakhir beraksi di Sydney 2000, skuad negara gagal meneruskan kesinambungan apabila tidak layak ke Athens 2004, Beijing 2008 dan London 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 9:11 AM