VAN Huizen (tengah) mahu anak buah fokus setiap perlawanan.
VAN Huizen (tengah) mahu anak buah fokus setiap perlawanan.
Jugjet Singh di Dhaka


OBJEKTIF utama pengendali skuad hoki negara Stephen Van Huizen dan anak buahnya pada Piala Asia di Dhaka bermula esok adalah untuk mengukuhkan cengkaman menjelang Sukan Asia tahun depan.

Indonesia akan menjadi tuan rumah Sukan Asia pada Ogos 2018 dan pingat emas pada temasya itu akan membantu Malaysia secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mengambil bahagian dalam temasya Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney.

“Kami sudah menewaskan India, Korea Selatan dan China tahun ini dan sasaran kami di Dhaka adalah untuk mengukuhkan cengkaman. Pemain saya bekerja keras untuk mencapai kemenangan ini dan ia akan sia-sia jika kami benarkan mereka kalahkan kami di Piala Asia,” kata Van Huizen.

Mengekalkan rentak kemenangan akan memberikan tonik tambahan terbaik buat skuad Malaysian Tigers apabila mereka bertemu sekali lagi di Sukan Asia 2018.

“Sasaran kami untuk tahun depan adalah Sukan Komanwel dan Sukan Asia dan langkah pertama kami ketika ini adalah mencabar semua negara Asia di Dhaka.

“Jika kami berjaya mara hingga ke final, seperti yang disasarkan, ia akan memberi kami rangsangan terbaik apabila kami bertemu dengan pasukan utama Asia di Sukan Asia Indonesia.

“Kami tidak pernah beraksi di Olimpik sejak Sydney dan Sukan Asia adalah platform terbaik untuk pasukan kembali berada dalam kelompok 10 terbaik dunia,” kata Van Huizen.

Tokyo hanya menawarkan 12 slot, berbanding 16 di Piala Dunia dan Malaysia mempunyai dua cara untuk melayakkan diri iaitu menerusi Sukan Asia dan saingan Liga Dunia.

Anak didik Van Huizen menumpaskan China untuk menjuarai saingan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka dan di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Malaysia mengalahkan China, Korea Selatan dan India untuk meraih tempat keempat dan seterusnya layak ke Piala Dunia 2018.

“Ia bukannya mudah walaupun kami meraih keputusan baik di Stadium Maulana Bhasani apabila menewaskan China untuk muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia.

“Pemain tahu keadaan padang ini, termasuk juga cuaca (berdebu) di Dhaka dan selepas menyesuaikan diri dengan isu ini - mereka hanya perlu tampil dengan permainan biasa dan saya percaya sasaran akan tercapai.”

India menjadi pasukan pilihan bagi edisi ke-10 Piala Asia. Bagaimanapun tekanan tertumpu kepada Korea Selatan, Jepun dan China untuk muncul juara kerana India, Malaysia dan Pakistan sudah layak ke Piala Dunia 2018.

Hanya pemenang akan meraih tiket ke Piala Dunia tetapi andai Malaysia, India atau Pakistan memenangi aksi di Dhaka, pintu akan terbuka kepada pasukan yang memiliki ranking tertinggi yang masih belum layak menerusi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Afrika Selatan dan London.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 9:47 PM