SKUAD hoki wanita negara terpaksa melupakan hasrat mara ke separuh akhir Sukan Asia ke-17 apabila tewas 6-1 di tangan India pada aksi pelengkap Kumpulan A di Stadium Hoki Seonhak.

Skuad bimbingan jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim gagal menepati sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini serta gagal mengatasi rekod pencapaian terbaik pingat gangsa pada Sukan Asia edisi 1982, di New Delhi.

“Saya percaya semua pemain memberikan yang terbaik namun kita tidak ada rezeki,” kata Mohd Nasihin.

Srikandi hoki negara menduduki tempat ketiga dengan tiga mata di belakang juara kumpulan, China, yang juga juara bertahan, yang mengumpul sembilan mata diikuti India dengan enam mata.

Dua pasukan teratas dalam kumpulan akan layak ke separuh akhir.

Dalam Kumpulan B, South Korea muncul juara kumpulan diikuti Jepun, Kazakhstan dan Hong Kong.

Pada saingan separuh akhir, Isnin ini, China akan menentang Jepun manakala Korea Selatan berdepan dengan India.

Malaysia akan menentang Kazazkhstan dalam perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan pada 1 Okt ini.

Dalam saingan peringkat kumpulan, skuad negara hanya menang satu perlawanan iaitu 2-1 ke atas Thailand, kalah 1-0 kepada China dan 6-1 kepada India. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 September 2014 @ 11:43 PM