Asrizal Aris


 

"SAYA akan kembali beraksi di Dhaka sehingga tamat kejohanan, tetapi saya akan pulang segera sekiranya keadaan anak tidak mengizinkan."

Itu kata tonggak tengah skuad hoki negara, Mohd Fitri Saari, 24, yang terpaksa pulang dari Dhaka, Bangladesh kelmarin susulan anaknya, Muhammad Adam Zafran, 5 bulan, dijangkiti virus pada bahagian paru-paru berada dalam keadaan kritikal.

Mohd Fitri berkata, anak sulungnya itu bagaimanapun menunjukkan perkembangan positif dan berada dalam keadaan stabil sejak pagi hari ini.

"Keadaan Adam semakin stabil dan pernafasannya juga semakin pulih berbanding semalam nafasnya begitu laju seperti sedang berlari.

"Buat masa sekarang ini, saya buat keputusan untuk kembali ke Dhaka melalui penerbangan malam ini tetapi kalau keadaan Adam tidak stabil saya akan patah balik," katanya ketika ditemui di Hospital Serdang, hari ini.  

Menurutnya, dia mengharapkan skuad hoki negara berjaya melepasi sasaran ke final Sabtu ini menerusi perlawanan round robin dan separuh akhir pada esok dan Khamis sekali gus mencipta sejarah menjuarai Piala Asia buat kali pertama.

Kata Fitri, sekiranya semua urusan berjalan lancar, dia tidak mahu terlepas untuk beraksi dan membantu skuad hoki negara layak ke final serta berhasrat untuk menyerahkan semua wang tunai dan hadiah kemenangan kepada anaknya, Adam.

"Adam adalah kekuatan saya dan juga adik kembarnya, Muhammad Yusuf. Biarpun saya mungkin beraksi di Dhaka ketika dia sakit, saya akan fokus demi keluarga dan negara.

"Bagaimana Adam kuat melawan penyakitnya sejak tiga bulan lalu, begitu juga saya perlu kuat untuk berikan yang terbaik untuknya," katanya yang juga tonggak Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Menurutnya, sekiranya keadaan anaknya itu kembali tidak stabil, dia terpaksa melupakan aksi pusingan round robin (separuh akhir) di Dhaka kerana baginya keluarga perlu didahulukan.

Harian Metro semalam melaporkan Fitri Saari sanggup balik hari dari Malaysia ke Dhaka untuk beraksi bersama skuad hoki kebangsaan sekiranya pasukan itu layak ke pentas final.

Pada waktu sama, Konfederasi Hoki Malaysia (MCH) tidak memaksa Fitri untuk kembali ke pangkuan pasukan di Dhaka meskipun tidak menafikan ketiadaan tonggak tengah itu bakal menjejaskan aksi pasukan di Piala Asia.

Malaysia melangkah ke round robin Super 4 selepas menjadi juara Kumpulan B apabila menewaskan China, Korea Selatan dan Oman dalam saingan kumpulan.

Aksi Super 4 turut membabitkan Korea Selatan dan India dengan dua pasukan terbaik akan berentap di final.

Berdasarkan aksi peringkat kumpulan, Malaysia memiliki peluang cerah untuk mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama sekali gus mengatasi pencapaian terbaik mereka pada 2007 di Chennai, India.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 8:15 PM
Mohd Fitri kembali ke Dhaka malam ini.
Mohd Fitri kembali ke Dhaka malam ini.