Antwerp: Malaysia hanya perlu melepasi halangan India di suku akhir esok untuk berada dalam kelompok empat terbaik bagi layak ke Sukan Olimpik 2016 Rio. Tetapi andai gagal, pengurus pasukan Stephen van Huizen masih mempunyai pelan B untuk dilaksanakan.

Pelan B dimaksudkan itu adalah untuk skuad negara bangkit dengan menduduki tempat kelima jika Speedy Tigers gagal ke separuh akhir yang menjanjikan tiket ke Olimpik walaupun hanya tiga pasukan layak secara automatik daripada kempen di Antwerp ini.

Ini kerana India sudah menempah tempat ke Rio selaku juara Asia dan jika skuad negara menduduki tempat keempat, maka tiket Olimpik lebih layak diberikan kepada Malaysia kerana menduduki ranking lebih tinggi berbanding Kanada yang menghuni kedudukan sama daripada satu lagi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Argentina, bulan lalu.

Setakat ini, selain India, tiga lagi pasukan sudah layak membabitkan Jerman, Belanda dan Argentina.

“Semua pemain jelas mengenai misi kita untuk layak ke Olimpik. Menewaskan India masih lagi keutamaan kami. Pemain harus kekal fokus dengan tempoh beberapa hari ini akan digunakan untuk memperbaiki kelemahan taktikal selain set piece sudut penalti.

“Yang penting, pemain mesti bangkit daripada dua kekalahan terakhir dan berikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.

Malaysia mengesahkan pertemuan menentang India yang berada di ranking kesembilan dunia itu selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan B manakala juara Asia itu menghuni tangga kedua Kumpulan A.

“Tapi jika kita gagal dengan perancangan utama itu, kita akan beralih kepada pelan B yang semestinya ketika itu sudah menjadi sukar buat pemain dari segi mental. Tempat kelima mungkin sudah kurang nilainya,” katanya.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan kelmarin menyaksikan Malaysia tewas 1-3 kepada Britain manakala Belgium menang tipis 2-1 ke atas Ireland.

Berikutan kemenangan itu, Belgium menduduki tempat teratas Kumpulan B, diikuti Britain, Malaysia, Ireland dan China. Kumpulan A pula diterajui juara dunia Australia, India, Pakistan, Perancis dan Poland.

Selain pertemuan Malaysia dan India, pertembungan peringkat lapan pasukan terbaik itu turut menyaksikan Australia melawan Ireland, Britain bertemu Pakistan dan Belgium berjumpa Perancis.

Poland serta China akan menentukan klasifikasi tempat ke-9/10.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 8:38 AM