Antwerp: Britain akan turun menentang Malaysia hari ini dengan berbekalkan dua strategi. Pertama, menyekat penyerang negara, Faizal Saari (gambar) dan kedua, tidak membenarkan Malaysia memperoleh pukulan sudut penalti.

Pasukan kelima terbaik dunia itu sedar skuad negara memiliki dua kelebihan itu yang mampu memusnahkan impian mereka untuk menduduki dua tempat teratas Kumpulan B.

Faizal yang setakat ini baru menjaringkan satu gol pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, tetap dianggap berbahaya di mata pengendali skuad Britain, Bobby Crutchley apabila menamakan penyerang berusia 24 tahun itu sebagai satu-satunya pemain Speedy Tigers yang harus diberi perhatian.

“Dia begitu tajam dan berbahaya di depan gol. Jika tidak dirantai, dia boleh meranapkan impian kami untuk menang. Justeru saya sudah mengarahkan pemain pertahanan supaya bekerja keras untuk mengekangnya,” katanya.

Britain, seperti Malaysia memburu dua tangga teratas, kini berada di tangga ketiga menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini. Mereka memperoleh lima mata manakala Malaysia, enam.

Crutchley yang bangga dengan persembahan anak buahnya setakat ini apabila mengekalkan rekod bersih sepanjang tiga perlawanan tidak mahu pencapaian itu dicemari ketika menentang Malaysia yang dianggapnya berbahaya jika menerima pukulan sudut penalti.

Empat daripada tujuh gol Malaysia dalam dua perlawanan setakat ini dijaringkan melalui gerakan berkenaan dan hakikat itu nyata meresahkan Crutchley.

“Kami tidak boleh biarkan Malaysia mendapat pukulan sudut penalti. Kami akan cuba seberapa daya untuk mengelak daripada membolehkan mereka mendapatnya. Separuh daripada gol mereka diperoleh melalui set piece itu,” katanya.

Mengenai persembahan keseluruhan Malaysia, pengendali Britain itu mengakui tidak menyangka anak buah Tai Beng Hai berupaya menampilkan corak permainan bertenaga sepanjang beraksi di Stadium KHC Dragons.

“Saya terkejut kerana mereka begitu bagus di sini. Saya sendiri tidak menjangkakan mereka berupaya memberi tentangan, tapi selepas apa yang saya lihat di sini, kami kena berhati-hati.

“Kami akan melihat semula rakaman perlawanan Malaysia bagi mengatur strategi bagaimana untuk menyekat mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:20 AM