Barisan pemain negara sebelum perlawanan menentang Korea. FOTO Ihsan fb MHC
Barisan pemain negara sebelum perlawanan menentang Korea. FOTO Ihsan fb MHC
Saiful Affendy Sapran


SKUAD hoki lelaki negara bermula langkah kanan pada aksi persahabatan pertama menentang Korea Selatan selepas mengatasi pasukan itu 2-1 di Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon, Korea Selatan, hari ini.

Malaysian Tigers yang kali ini membariskan 20 pemain terbaik, menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Muhammad Razie Abd Rahim minit ke-34 dan 37.

Korea Selatan bagaimanapun cuba merapatkan jurang hasil pukulan sudut penalti Jan Jong-hyun minit ke-44.

Begitupun usaha tuan rumah untuk mencari gol penyamaan tidak berhasil sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan pertama itu.

Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans berkata, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berkualiti namun skuad negara memanfaatkan sepenuhnya peluang menerusi pukulan sudut penalti.

"Pemain berjaya mengawal perlawanan hari ini dengan baik cuma kedua-dua pasukan tidak banyak mencipta gerakan yang boleh menjaringkan gol.

"Perbezaan kami dan pasukan lawan adalah pukulan sudut penalti dengan kami menjaringkan dua daripada empat peluang yang diperolehi sementara lawan yang memiliki tiga kelebihan pukulan sudut penalti hanya menjaringkan satu daripadanya.

"Untuk pertemuan kedua, saya mahu pemain bermain dengan corak yang sama tetapi membuat keputusan yang lebih baik ketika melakukan serangan," katanya.

Skuad negara akan turun pada perlawanan persahabatan kedua esok diikuti Khamis dan yang terakhir Jumaat ini.

Empat perlawanan persahabatan dengan Korea adalah sebagai persiapan terakhir sebelum skuad negara menghadapi aksi play off kelayakan Sukan Olimpik bertemu Britain di London pada 2 dan 3 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:34 PM