PEMAIN THT Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (kiri) diasak dua pemain TNB di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.
PEMAIN THT Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil (kiri) diasak dua pemain TNB di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

Kuala Lumpur: Gol pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit terakhir perlawanan membantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) melangkah ke pentas final Piala Tan Sri P Alagendra-TNB selepas menewaskan juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) 3-2 semalam sekali gus membuat perhitungan dengan Sapura pada aksi final, Selasa depan.

Sapura menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 4-1 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Kecederaan yang menimpa pakar sudut penalti utama Shahril Saabah dimanfaatkan sepenuhnya oleh Syed Syafiq yang turut menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-15, juga menerusi sudut penalti.

“Memang pada setiap perlawanan saya sasarkan sekurang-kurangnya dapat menjaringkan satu gol.

“Apabila Shahril berdepan kecederaan, saya sedar perlu ambil tanggungjawab yang ditinggalkan olehnya.

“Alhamdulillah, saya dapat memenuhi kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan semalam.

Syed Syafiq memberi tekanan awal kepada THT apabila tenang menyempurnakan sudut penalti pada minit ke-15.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila tonggak import Jang Jong Hyun menyamakan kedudukan minit ke-21, juga menerusi sudut penalti.

Selang seminit kemudian, Muhammad Azammi Adabi kembali meletakkan TNB di depan apabila menyempurnakan pukulan penalti.

Minit terakhir perlawanan menyaksikan TNB dihadiahkan pukulan sudut penalti dan Syed Syafiq memanfaatkan peluang terbaik itu dengan menguis masuk rendah ke penjuru kanan gawang gol lawan sekali gus memberikan kemenangan mutlak buat TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:08 AM