Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Naib Presiden Telekom Malaysia (TM) Selangor, Datuk Zaini Maatan terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 253 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Plaza Tol Senawang di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian pada 5.15 pagi itu berlaku apabila lori tanpa muatan dipandu L Ravindaran, 39, hilang kawalan dan merempuh dua lori lain.

Menurutnya, siasatan mendapati lori dipandu mangsa melanggar bahagian belakang lori membawa muatan kayu getah sebelum terbabas ke tengah jalan dan merempuh lori membawa muatan telur.

"Kemalangan itu mengakibatkan muatan kayu getah terbalik atas jalan menyebabkan Zaini yang memandu di lorong kanan gagal mengelak dan merempuh kayu getah terbabit," katanya.

Katanya, Ravindaran disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di tempat duduk pemandu manakala tiga lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 2:49 PM