LOKASI kemalangan membabitkan lima kenderaan.
LOKASI kemalangan membabitkan lima kenderaan.
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Dua lelaki dan seorang wanita cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta, dua treler dan sebuah lori tangki di Kilometer 401.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur masuk Plaza Tol Tanjung Malim.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi semalam, kemalangan didakwa berlaku apabila lori tangki membawa muatan susu getah dipandu keluar dari lorong kecemasan secara tiba-tiba tanpa menyedari treler membawa muatan besi di belakangnya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan
R Supramaniam berkata, berlaku perlanggaran menyebabkan susu getah tumpah dan melimpah di lebuh raya.

“Pada masa sama, sebuah lagi treler turut merempuh kepingan besi yang terjatuh dari treler pertama.

“Pemandu treler kedua kemudian berhenti di laluan kecemasan untuk menanggalkan besi itu, namun sebuah kereta Honda Civic dari arah sama terbabas lalu melanggar bahagian tengah treler itu.

“Tidak lama kemudian sebuah Honda City merempuh pula Honda Civic yang melintang di tengah lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang Honda Civic termasuk pemandu Honda City cedera.

Katanya, pemandu Honda Civic dikenali sebagai Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 27, dan penumpang, Nur Fadhilah Roslan, 24, manakala pemandu Honda City, Mohd Syafiq Jamaluddin, 30-an dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Pemandu lori tangki dan dua treler terbabit tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 8:05 AM