Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) terpaksa memohon penangguhan tiga perlawanan Liga Perdana berikutan pemain importnya Jean Marc Alexandre perlu mewakili negara asal Haiti mengharungi kejohanan bola sepak peringkat antarabangsa.

Pengurus pasukan Negeri Sembilan (NS) Matrix Datuk Abdul Ghani Hasan berkata, pemain terbabit sudah pulang ke negaranya kelmarin untuk skuad Haiti menghadapi kejohanan yang mendapat pengiktirafan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bermula 25 Jun sehingga 7 Julai ini.

Katanya, permohonan penangguhan itu membabitkan perlawanan menentang DRB Hicom hari ini, diikuti UiTM FC dan SPA Putrajaya yang semuanya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

“Kita sudah menghantar surat permohonan penangguhan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berharap ia mendapat pertimbangan sewajarnya badan induk bola sepak negara itu.

“Permohonan mengambil kira kelulusan pernah diberikan FAM kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) sebelum ini, susulan seorang pemain pasukan itu terbabit dengan tugas dan komitmen kepada pasukan negara asalnya,” katanya semalam.

Menurut Abdul Ghani, ketiadaan Marc Alexandre memberi kesan kepada persiapan pasukan bimbingan K Devan, khususnya bagi posisi pertahanan kerana pemain berkenaan adalah tonggak utama dalam membantu skuad Hoben Jang Hoben mencapai kemenangan sepanjang pusingan kedua liga ini.

“Saya harap FAM dapat mempertimbangkan permohonan ini bagi memastikan persiapan NS Matrix mengharungi perlawanan tidak terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 8:41 AM