Santiago: Pemain Colombia, Edwin Valencia (gambar) cedera dan akan terlepas aksi suku akhir Copa America menentang Argentina di Vina del Mar pada pagi Sabtu ini.

Pemain tengah bertahan itu mengalami kecederaan lutut serius menentang Peru pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan tidak boleh beraksi lagi pada kejohanan itu, umum pasukan itu semalam.

“Kami sedih buat Edwin,” kata penyerang bintang Colombia, James Rodriguez.

“Ia kecederaan serius, dia perlu tabah menanganinya, tapi kami mempunyai pemain dalam skuad yang boleh menggantikannya,” ujar penyerang Real Madrid itu.

Mengesahkan ketiadaan pemain Santos itu, pegawai media Colombia, Mauricio Correa berkata: “Keputusan ujian dijalankan pagi ini mengesahkan ligamen lutut kanannya koyak.”

Suku akhir Copa America bermula pagi esok dengan tuan rumah Chile berdepan Uruguay di Santiago. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:26 AM