RODRIGUEZ terima layanan buruk pemain Brazil pada Piala Dunia tahun lalu.
RODRIGUEZ terima layanan buruk pemain Brazil pada Piala Dunia tahun lalu.

Santiago: Colombia tidak bercadang membalas dendam apabila berdepan Brazil pada Copa America awal pagi esok sekalipun tewas kepada lawan pada Piala Dunia tahun lalu, jelas perancang utama Colombia, James Rodriguez, semalam.

“Bukannya balas dendam, ia hanya satu lagi perlawanan dan saya fikir ia pasti menarik,” kata Rodriguez, sebahagian daripada pemain yang tewas 1-2 kepada Brazil pada suku akhir Piala Dunia.

“Neymar beraksi dengan menakjubkan tapi mereka perlu bertindak luar biasa untuk menundukkan Colombia.”

Pertembungan tahun lalu memeritkan. Rodriguez menerima layanan buruk pemain Brazil dan Neymar diusung keluar di Fortaleza selepas mengalami kecederaan teruk, sekali gus menamatkan kempennya pada Piala Dunia.

Colombia tampil pada perlawanan awal pagi esok memerlukan keputusan baik selepas kecundang 0-1 kepada Venezuela pada perlawanan pertama Copa America, awal pagi kelmarin.

“Saya fikir permainan lebih terbuka menentang Brazil dan mereka akan memberi kami lebih banyak ruang,” kata Rodriguez.

Brazil menundukkan Peru 2-1 kelmarin dan akan layak ke peringkat kalah mati jika menang ke atas Colombia. Mereka mempunyai rekod baik menentang jiran mereka itu selepas hanya kalah dua kali dalam 27 pertembungan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:15 PM