Santiago: Bintang Brazil, Neymar dikenakan penggantungan awal satu perlawanan dan mungkin berdepan hukuman lebih berat, menurut pegawai semalam selepas penyerang itu menerima kad merah ketika insiden pergaduhan apabila Brazil tumpas kepada Colombia pada Copa America.

Jawatankuasa disiplin persekutuan Amerika Selatan, CONMEBOL “menggantung Neymar satu perlawanan buat sementara waktu selepas kelakuannya ketika Brazil kalah 0-1 kepada Colombia dan akan bermesyuarat hari ini untuk memutuskan hukuman muktamad terhadapnya,” menurut satu kenyataan dalam laman web Copa America.

Colombia mengejutkan juara dunia lima kali itu pada perlawanan tegang kelmarin yang berakhir dengan pergaduhan dan Neymar dilihat menanduk kepala penjaring gol Colombia, Jeison Murillo.

Penyerang Colombia, Carlos Bacca turut menerima kad merah kerana menolak Neymar dari belakang.

Neymar sebelum ini menerima kad kuning kedua kerana memegang bola secara sengaja, bermakna dia harus menjalani penggantungan satu perlawanan.

Laman web Copa America awalnya melaporkan penggantungan dua perlawanan, namun kemudian menjelaskan bintang Barcelona itu digantung satu perlawanan saja sebelum jawatankuasa disiplin bersidang semalam.

Penggantungan dua perlawanan akan menyaksikannya diketepikan bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Venezuela dan aksi suku akhir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 10:40 AM