Antwerp: Pasukan pilihan Australia seperti dijangka tidak menghadapi masalah melepasi hadangan suku akhir untuk menentang Britain yang terpaksa berhempas-pulas sebelum mara ke kelompok empat terbaik saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, semalam.

Australia yang terlebih dulu turun beraksi menentang Ireland di Stadium KHC Dragon itu, membuktikan mengapa mereka pasukan nombor satu dunia apabila terus mengekalkan rentak kemenangan besar dengan menewaskan Ireland 4-1.

Britain pula terpaksa berdepan semangat juang kental Pakistan sebelum menang tipis 2-1 dengan dua gol pada 15 minit pertama sudah memadai buat mereka mengesahkan pertemuan dengan Australia, esok.

Gol Britain dijaringkan Chris Griffiths dan Alastair Brogdon pada minit ke-4 dan 9 sebelum Umar Muhammad Bhutta membalas untuk Pakistan (m-48).

Dalam aksi pertama yang berat berat sebelah, Ireland bertindak baik apabila menyekat juara dunia Australia daripada menjaringkan gol sepanjang 22 minit pertama sebelum Matt Gohdes menjaringkan gol pertama, diikuti jaringan Jamie Dwyer (m-45) sebelum dua gol berturut-turut Simon Orchard dan Blake Gover (m-55) memastikan Kookaburras mengesahkan tempat di separuh akhir.

Shane O’Donoghue merapatan jurang tiga minit sebelum tamat perlawanan untuk gol sagu hati Ireland.

Jurulatih Australia, Graham Reid mengakui cuaca panas apabila terpaksa bermain di bawah suhu 34 darjah Celcisus menjejaskan rentak mereka.

“Keadaan cuaca panas dan kekentalan pemain Ireland untuk membuktikan sesuatu membawa masalah kepada kami. Mujur pemain tidak mudah menyerlah kalah untuk kemenangan ini,” katanya. “Apa yang penting, kami sudah melepasi suku akhir dan tidak kisah siapa lawan di separuh akhir nanti.”

Jurulatih Ireland Craig Fulton pula berkata, beliau begitu bangga dengan persembahan anak buahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 8:07 AM