Antwerp: Percayalah saya! Walaupun tidak menyatakannya secara berterus-terang, penjaga gol negara Roslan Jamaluddin mahukan peminat hoki tempatan supaya terus meletakkan kepercayaan kepadanya mengawal gawang negara.

Dia yang berjanji akan memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan menganggap sokongan peminat akan menyuntik semangatnya untuk menyerlah.

“Memang perasaan gugup itu tetap ada kerana sudah lama tidak beraksi dalam pertandingan kompetitif, tapi saya kini lebih tenang selepas kita menang perlawanan pertama,” katanya merujuk kepada aksi menentang China, Ahad lalu.

Benteng terakhir negara itu menampilkan ketangkasan apabila menyelamatkan beberapa serangan berbahaya pemain Tembok Besar, termasuk pukulan sudut penalti untuk memastikan Malaysia menang 3-2 dalam aksi Kumpulan B itu.

Roslan dilonjakkan menjadi penjaga gol utama negara selepas pilihan pertama S Kumar terpaksa pulang saat akhir menjelang bermulanya kejohanan di Brasschaart ini kerana anak lelakinya meninggal dunia akibat jangkitan kuman.

Keadaan itu mencetuskan tanda tanya terhadap kemampuan Roslan, pemain paling berpengalaman yang memiliki 192 caps lantaran banyak diturunkan sebagai simpanan termasuk kali terakhir ketika beraksi selama 15 minit sewaktu Malaysia menang 4-1 ke atas Kanada dalam saingan Piala Azlan Shah, April lalu.

“Tapi keyakinan saya semakin tinggi. Saya sudah bersedia jika diturunkan untuk bertemu Ireland. Misi saya mahu membantu skuad ini layak ke Olimpik selain saya juga mahu beraksi di temasya itu,” katanya.

Mengenai Ireland, Roslan 26, berkata pasukan itu tidak boleh dipandang ringan kerana mereka menampilkan corak permainan terbuka, pantas selain fizikal.

“Setiap pemain, termasuk saya harus meningkatkan prestasi masing-masing kerana Ireland kini bersemangat selepas mengikat Britain. Ireland menunjukkan walaupun berada di ranking lebih rendah mereka mamsih mampu memberikan aksi baik,” katanya yang turut berada di Stadium KHC Dragons untuk menyaksikan perlawanan pasukan itu menentang Britain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 8:34 AM