Antwerp: Craig Fulton percaya pemain Ireland sudah belajar daripada kekalahan lalu sekali gus bangkit menewaskan Malaysia bagi menduduki tempat kelima pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia hari ini.

Jurulatih berasal dari Afrika Selatan itu berkata, semangat anak buahnya melonjak selepas menewaskan Pakistan 1-0 pada aksi penentuan tempat ke-5/8 kelmarin dan Malaysia akan berdepan tugasan menggunung jika berhasrat mengulangi kemenangan ke atas mereka.

“Saya gembira kerana selepas beberapa perlawanan tidak memihak kepada kami, akhirnya kami menang (ke atas Pakistan). Kemenangan itu membuatkan kami percaya boleh melakukannya ke atas Malaysia kerana mereka mempunyai corak pemainan hampir sama, pantas dan terbuka,” katanya.

Ireland mencatat kemenangan bersejarah ke atas Pakistan apabila buat kali pertama menewaskan pasukan Asia itu dalam 11 pertemuan. Kemenangan itu turut menyaksikan mereka menyingkirkan Pakistan yang juga pasukan ranking ke-10 dunia daripada saingan ke Olimpik apabila sekadar bersaing tempat ke-7/8. Pakistan juga buat kali pertama gagal ke Piala Dunia tahun lalu.

Sambil menyifatkan semangat dan moral dalam kalangan pemainnya kini tinggi selepas mengalahkan Pakistan, Fulton tetap sedar Malaysia mempunyai kelebihan kerana pernah menewaskan mereka 4-2 dalam aksi pertama peringkat kumpulan.

“Tapi kalau Malaysia fikir kami akan terperangkap buat kali kedua, mereka silap. Kami tidak akan melakukan kesilapan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:13 AM