AIDIL Zafuan (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama
AIDIL Zafuan (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO Bernama
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Pasukan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Terengganu 2-0 dalam aksi Liga Super 2015 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di sini hari ini.

Dalam pertembungan pada babak pertama, skuad bimbingan ketua jurulatih pasukan Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim harus diberikan pujian apabila kemas mempertahankan kubu sehingga tuan rumah gagal menembusi kubu meskipun diasak bertalu talu.

Ini termasuk perangkap dipasang oleh pemain Vincent Bikana yang kerap dilihat merapati penyerang berbisa Johor DT, Patito sehingga dia dilayangkan kad kuning oleh pengadil Lismotia Mohem kerana mengasari pemain berasal dari Argentina itu.

Gol pertama Johor DT diraih melalui sepakan percuma diambil Safiq Rahim kepada Mohd Aidil Zafuan Abd Razak yang menanduk masuk ke gawang skuad Penyu, dikawal Sharbinee Allawee pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Skuad Harimau Selatan selesa 2-0 di depan menuju minit akhir perlawanan hasil gerakan serangan balas pemain Johor DT melalui Mahalli Jasuli dan Luciano Figueroa pada minit kecederaan.

Ini adalah kali kedua Terengganu menanggung kekalahan selepas ditewaskan anak buah Mario Gomez dengan jaringan 1-0 dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Sabtu lalu.

Dengan kemenangan itu, Johor DT mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri dalam 31 aksi perlawanan bola sepak sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 12:33 AM