PATRICIO Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45. FOTO Bernama
PATRICIO Rodriguez menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-45. FOTO Bernama
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Johor Bahru: Skuad bimbingan ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, memperoleh tiga mata berharga bagi mendaki tangga kedua Liga Super dalam aksi menentang FELDA United di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di sini hari ini.

JDT yang sebelum ini menduduki tangga keenam liga meraih gol tunggal perlawanan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Patricio Rodriguez selepas dia dikasari kapten pasukan FELDA United, Muhd Shukor pada minit ke-45.

Bagaimanapun persembahan anak buah Irfan Bakti terlebih dahulu mencuri tumpuan apabila berjaya mengucar-kacirkan kubu tuan rumah pada minit-minit awal perlawanan.

Asakan pemain FELDA United yang dilihat mempamerkan persembahan konsisten di babak pertama menafikan beberapa peluang tuan rumah termasuk persembahan cemerlang penjaga gol pasukan Mohd Farizal Harun yang berjaya menepis sepakan Patito pada minit ke-28.

Masuk babak kedua perlawanan, permainan bertambah rancak apabila kedua pasukan mula menggandakan serangan dan hingga tamat permainan keputusan kekal JDT 1-0 FELDA United.

Dengan keputusan itu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih unggul di tampuk liga dengan 18 mata berbeza sebanyak 10 jaringan dengan JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 10:59 PM