TIGA gambar ini menunjukkan kapal angkasa Virgin Galactic berpisah dari kapal pengangkut (kiri) sebelum meletup di udara (kanan) ketika menjalani ujian penerbangan, semalam.
TIGA gambar ini menunjukkan kapal angkasa Virgin Galactic berpisah dari kapal pengangkut (kiri) sebelum meletup di udara (kanan) ketika menjalani ujian penerbangan, semalam.

California: Sebuah kapal angkasa yang direka khas untuk membawa pelancong bersiar-siar melepasi atmosfera bumi meletup ketika sesi pandu uji merentasi kawasan Gurun Mojave, mengakibatkan seorang juruterbang maut dalam kemalangan kedua membabitkan pengembaraan angkasa komersial dalam tempoh kurang seminggu.

Jurugambar Ken Brown yang menyaksikan kejadian itu berkata, SpaceShipTwo milik Virgin Galactic itu berkecai sejurus dilepaskan dari pesawat induk pada altitud tinggi.

Syerif daerah Kern, Donny Youngblood berkata, seorang juruterbang ditemui mati di dalam kapal angkasa berkenaan manakala rakannya sempat melepaskan diri menggunakan payung terjun sebelum diterbangkan menggunakan helikopter ke hospital untuk rawatan.

Kemalangan berlaku 193 kilometer ke utara pusat bandar Los Angeles dan 32 kilometer dari Stesen Udara dan Angkasa Mojave, tempat ia berlepas.

Jutawan Britain Richard Branson yang juga pengasas Virgin Galactic mewujudkannya untuk memberi peluang kepada orang awam merasai pengalaman menikmati penerbangan suborbit selain melihat bumi dari ruang angkasa.

Dia kini berada di Mojave bersama pasukan penyiasat dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan.

“Saya mahu berada bersama kakitangan di sana yang sudah pasti terkejut dan sedih dengan kejadian malang ini.

“Bidang ruang angkasa bukanlah sesuatu yang mudah namun diharapkan semuanya berbaloi di kemudian hari.

“Apa yang penting, kami di Virgin Galactic mengorak langkah bersama untuk mengatasi kedukaan ini,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Virgin Galactic George Whitesides berkata: “Keadaan di ruang angkasa lepas memang sukar dan kami mengalami kejadian yang amat mencabar hari ini.

“Namun kejadian seperti ini memberikan pengajaran diperlukan untuk menjamin kejayaan pada masa depan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Stesen Udara dan Angkasa Mojave Stuart Witt berkata, pesawat itu tidak menunjukkan masalah pada awalnya, tetapi pihaknya mengesan sesuatu tidak kena kira-kira 50 minit selepas dilancarkan dan sejurus dilepaskan dari kapal induk.

Virgin Galactic menyediakan pengalaman pengembaraan unik itu dengan harga AS$250,000 (RM820,000).

Antara ‘bakal angkasawan’ popular syarikat itu termasuk selebriti seperti pakar fizik terkemuka Stephen Hawking dan artis popular Justin Bieber, Ashton Kutcher serta Russell Brand.

Syarikat itu didakwa menerima AS$90 juta (RM296 juta) daripada kira-kira 700 bakal pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 6:49 AM