SALAH satu formasi batuan dikenali sebagai Seven Sisters di  Taman Negeri Valley of Fire, Nevada. FOTO AFP
SALAH satu formasi batuan dikenali sebagai Seven Sisters di Taman Negeri Valley of Fire, Nevada. FOTO AFP
Agensi

Las Vegas: Dua pengembara berjalan kaki (hiker) wanita ditemukan meninggal dunia di Taman Negeri Valley of Fire, Nevada, ketika barat daya Amerika Syarikat (AS) terus mengalami gelombang haba luar biasa.

Metro UK melaporkan, Nevada kini berada di bawah nasihat haba melampau kerana haba menyelubungi seluruh rantau, membawa suhu harian mencecah tiga digit (Fahrenheit).

Pegawai dan rakan pejalan kaki menyedari kedua-dua wanita itu pergi untuk mengembara berjalan kaki di taman berkenaan, pada pagi Sabtu.

Tidak jelas jam berapa mangsa memulakan aktiviti itu, tetapi suhu mencecah 37 darjah Celsius menjelang 9 pagi, menurut data Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.

Rakan mula bimbang selepas dua wanita itu tidak pulang pada sebelah petang kerana suhu di taman itu mula menghampiri 114 darjah Fahrenheit iaitu bersamaan 45.5 darjah Celsius.

Polis Taman Negeri menemui wanita pertama yang rebah di laluan pada 2.48 petang, tanpa bersama rakannya.

Penyiasat kemudian meminta bantuan daripada pasukan mencari dan menyelamat dari Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas.

Wanita kedua akhirnya ditemukan di sebuah ngarai, kata pihak berkuasa.

Identiti kedua-dua hiker itu masih belum dikenal pasti dan siasatan terhadap kematian mereka sedang dijalankan.

Valley of Fire adalah taman seluas 18,616 hektar yang terletak di Overton, Nevada, kira-kira 80.5 kilometer (km) di luar bandar ini.

Taman itu terkenal dengan lanskap Gurun Mojave, muka tebing yang menakjubkan dan petroglif purba.

Kematian di Nevada itu berlaku empat hari selepas seorang pejalan kaki berusia 71 tahun ditemukan meninggal dunia di Death Valley, California, sebuah lagi taman di Gurun Mojave yang sering dianggap sebagai tempat paling panas di dunia.

Death Valley merekodkan rekod suhu tinggi 134 darjah Fahrenheit pada 1913 iaitu suhu tertinggi pernah direkodkan di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 12:36 PM