CRISTIANO Ronaldo menangis selepas Al-Nassr tewas di final Piala Saudi. FOTO Agensi
CRISTIANO Ronaldo menangis selepas Al-Nassr tewas di final Piala Saudi. FOTO Agensi
Reuters

Riyadh: Cristiano Ronaldo terus kempunan untuk memenangi kejuaraan pertama di benua Asia apabila Al-Nassr dikecewakan dalam aksi final Piala Saudi selepas tumbang menerusi penentuan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar.

Kekecewaan Ronaldo itu jelas kelihatan selepas final itu apabila tonggak antarabangsa Portugal itu menitiskan air mata selepas perlawanan itu berakhir.

Kesedihan bekas pemain Real Madrid dan Manchester United itu adalah yang kedua selepas sebelum ini turut gagal membantu Al-Nassr menjuarai saingan Liga Pro Saudi yang dimenangi juga oleh Al-Hilal.

Malah hasratnya untuk membawa pasukan ke final Liga Juara-Juara Asia juga berkecai selepas tersekat di pusingan kalah mati sekaligus gagal meraih sebarang kejuaraan domestik liga Saudi sejak berhijrah beraksi di Asia.

Dalam aksi final itu, ayam tambatan Al-Hilal, Aleksandar Mitrovic terlebih dulu menemui jaring pada minit ketujuh buat mengejutkan Ronaldo dan rakan sepasukannya.

Gol awal lawan itu nyata membangkitkan semangat Al-Nassr yang tampil bertenaga untuk memburu gol penyamaan.

Pada minit ke-56, Al-Nassr tersentak apabila penjaga golnya, David Ospina dilayangkan kad merah sekaligus meninggalkan Ronaldo dan rakan sepasukan dengan 10 pemain.

Begitupun ia tidak mematahkan semangat Al-Nassr dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil ledakan Ayman Yahya di minit 88 sebelum dua pemain Al-Hilal pula diperintahkan keluar kerana memungut dua kad kuning di hujung permainan.

Tuah lebih memihak Al-Hilal dalam penentuan penalti biarpun Ronaldo mudah menendang masuk sebagai penendang kedua namun ia gagal dilakukan Al-Nassr Alex Telles, Ali Alhassan dan Meshari Al-Nemer yang tidak menemui sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 9:41 AM