PEMAIN Al-Ittihad,  Karim Benzema (tengah) dikepung tiga pemain lawan dalam aksi di Arbil, Iraq. FOTO AFP
PEMAIN Al-Ittihad, Karim Benzema (tengah) dikepung tiga pemain lawan dalam aksi di Arbil, Iraq. FOTO AFP
Reuters

Riyadh: Kedudukan ketua jurulatih Al-Ittihad, Nuno Espirito Santo 'dalam bahaya' selepas kelab Liga Pro Saudi itu tewas 0-2 kepada wakil Iraq, Air Force Club dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) awal pagi tadi.

Jaringan Ali Jasim dan Mohannad Abdulraheem pada babak kedua mengesahkan kemenangan skuad tuan rumah yang kembali menghidupkan harapan ke peringkat kalah mati dari Kumpulan C manakala Al-Ittihad masih kekal pendahulu dengan sembilan mata daripada empat perlawanan.

Air Force kini hanya dua mata di belakang skuad berbelanja besar Espirito Santo dengan pengendali dari Portugal itu berdepan tekanan susulan beberapa keputusan hambar dalam saingan domestik.

Bekas pengurus Wolverhampton Wanderers dan Tottenham Hotspur itu membawa Al-Ittihad menjuarai liga tahun lalu tetapi kini menduduki tangga keenam dalam carta, 11 mata di belakang pendahulu Al-Hilal selepas 12 perlawanan.

Pasukan di tangga kedua dari Iran, Sepahan turut berada dua mata di belakang Al-Ittihad selepas membelasah AGMK 9-0 yang beraksi 10 pemain di Tehran.

Sementara itu, Al-Hilal meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Mumbai City 2-0 untuk menduduki tangga teratas Kumpulan D dan menyamai kutipan 10 mata dengan wakil Uzbekistan, Navbahor selepas empat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 7:49 AM