Sydney: Seorang putera Raja Saudi menawarkan pemain dan pegawai pasukan Al-Hilal bonus AS$26,000 (RM85,000) setiap seorang jika berjaya mengalahkan kelab Australia, Western Sydney Wanderers, sekali gus memenangi Liga Juara-Juara Asia hujung minggu ini.

Juara Asia dua kali dan Arab Saudi 13 kali itu tumpas perlawanan akhir pertama 0-1 di Sydney minggu lalu, namun akan menerima ganjaran besar jika mereka boleh mengatasi defisit itu di Stadium Raja Fahd, Sabtu ini.

Putera Alwaleed Talal Abdulaziz Al Saud, yang menurut Forbes memiliki kekayaan AS$21.5 bilion (RM70 bilion), menawarkan bonus itu dalam Twitter sebaik sebelum sepak mula perlawanan Sabtu lalu.

Kerabat diraja Saudi itu juga berkata, beliau akan membayar tiket masuk semua penyokong kelab itu bagi pertemuan kedua di Riyadh dan 65,000 penonton dijangka hadir.

Menurut laman web putera itu (www.alwaleed.com.sa), pemain Al-Hilal menerima bonus 20,000 Riyal (RM17,400) apabila layak ke suku akhir dan tambahan 40,000 Riyal (RM34,800) kerana memenangi separuh akhir pertama menentang Al Ain 3-0.

Beliau menerbangkan skuad itu ke Riyadh bagi perlawanan kedua dengan jet peribadinya dan sudah menyumbang 2.5 juta Riyal (RM2.18 juta) kepada kelab kaya itu semusim. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:09 AM