FAIZUL tak sangka karyanya diminati ramai.
FAIZUL tak sangka karyanya diminati ramai.
Oleh Norhayati Nordin


Dalam konsert akhir Akademi Fantasia 2013 lalu, Faizul Sany, 30, muncul dengan single solo Sepasang Sayap ciptaan Amir Jahari hingga melayakkan dia muncul juara.

Namun, impak Sepasang Sayap tidaklah serancak single Perempuan ciptaan Faizul sendiri yang kini menjadi

sebutan ramai.

Apatah lagi, single Perempuan dipilih menjadi lagu tema drama bersiri popular Suamiku Encik Sotong.

Faizul berkata, dia memang tak sang­ka lagu Perempuan berjaya membantu melonjakkan namanya.

“Saya sangat bersyukur kerana lagu itu berjaya menambat hati peminat. Ia membuatkan saya seronok dan bersemangat dalam penciptaan lagu.

“Apapun, lagu Perempuan saya cipta berpandukan arah tuju genre muzik

dimuatkan dalam album sulung yang dilancarkan beberapa bulan lalu,”

katanya.

Semakin menyerlah dalam karier nyanyiannya yang baru mencecah dua tahun, Faizul berkata, dia sebenarnya tidak pernah mengelak media, cuma

sibuk dengan kerja rakaman album

di studio.

Mengulas status dirinya yang solo meskipun sudah mencecah usia 30-an, anak jati Sabah itu berkata, dia

belum bernasib baik dalam hubungan percintaan.

Mengakui cintanya pernah terkandas di tengah jalan gara-gara kekasih kurang menyenangi minat mendalam Faizul terhadap muzik, hingga kini dia nampak­nya belum berjaya menemui pengganti.

“Sebagai lelaki yang berkeinginan memiliki keluarga suatu hari nanti, saya tidak pernah menolak cinta mahu pun serik menjalin kasih.

“Apa yang boleh dikatakan saya masih belum bertemu jodoh. Bagaimanapun, saya tidak meletakkan sebarang kriteria tertentu untuk calon isteri.

“Saya tidak menilai pun dari segi fizikal gadis itu. Apa yang penting, biarlah dia seorang yang cukup sifat, memahami dan boleh menerima saya seadanya,”

katanya.

Tidak meletakkan sasaran bila akan menamatkan zaman bujang, Faizul berkata, buat masa sekarang dia memang belum terfikir soal cinta kerana mahu fokus pada kerja.

Ingin memastikan karier nyanyian diceburi stabil lebih dulu, ujar Faizul lagi dia gembira rezeki semakin murah dan lagu dendangannya pun tersenarai dalam beberapa carta radio tempatan dan Singapura.

Selain itu, Faizul juga mengakui dia teruja mendapat peluang mengikuti Hafiz & Friends Showcase di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 25 Januari ini bersama Hazama, Akim & The Majestic, Aril dan Firman Bansir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 6:00 AM