SAUJANA, Siti Nordiana bergabung vokal rakam lagu Keluarga Bahagia diberi nafas baharu.
SAUJANA, Siti Nordiana bergabung vokal rakam lagu Keluarga Bahagia diberi nafas baharu.
Norhayati Nordin


Lagu kerohanian dan nasyid cukup mendapat tempat yang baik dalam kalangan pendengar muzik di negara ini tidak kira bangsa dan agama. Ia berikutan, melodi indah pada lagu kerohanian dan nasyid itu cukup menenangkan jiwa.

Apatah lagi, banyak kumpulan nasyid tanah air yang masih menjadi perhatian peminat seperti Raihan, Hijjaz, Rabbani, Inteam, UNIC dan Saujana yang mana lagu mereka sehingga kini masih 'malar segar' serta menjadi siulan ramai.

Seiring masa berlalu, kumpulan Saujana yang masih aktif dalam nyanyian turut terpanggil merakamkan semula lagu popular mereka, Keluarga Bahagia untuk diberi nafas baharu secara duet.

Justeru, bagi menjayakan projek khas rakaman semula lagu Keluarga Bahagia 2023 itu hanya membabitkan empat anggota Saujana iaitu Dr Khairul Idzwan Baharin, 42, Suffian Amrin, 42, Azalinor Abd Rahman, 42, dan Ahmad Zuhaidi Abd Aziz, 44.

Menariknya lagi, Saujana sepakat memilih penyanyi wanita untuk dijadikan rakan duet dan rezeki berpihak kepada Siti Nordiana atau Nana, 39.

Bagi Saujana, ia satu kelainan dan cabaran untuk mereka menggabungkan vokal lelaki dan wanita dalam lagu Keluarga Bahagia 2023.

Anggota Saujana, Dr Khairul Idzwan atau Idzu berkata, mereka sudah lama berhasrat mahu merakam semula lagu popular Saujana, namun perlu mencari rakan duet sesuai.

Katanya, Saujana ingin mengembalikan semula nostalgia peminat yang membesar dengan lagu mereka.

"Saujana menyertai industri seni pada pertengahan era 1990-an ketika masih bersekolah menengah dan kami berpeluang muncul dengan album pertama pada 1997.

"Ia satu rezeki buat Saujana untuk perjuangan muzik kami yang berdakwah dalam lagu.

"Malah, saya juga dapat menghasilkan beberapa album studio bersama Saujana sebelum mengundur diri pada 2006 kerana ingin memberi fokus pada pelajaran dan kerjaya kedoktoran," katanya di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas mengenai pemilihan lagu Keluarga Bahagia, Idzu berkata, dia bersama Suffian, Azalinor dan Ahmad Zuhaidi berbesar hati dengan pilihan dibuat oleh Nana.

Katanya, mereka okay dengan permintaaan penyanyi itu.

"Nana yang ingin menyanyikan lagu Keluarga Bahagia ini dan dia meluahkan hasrat itu ketika dalam perbincangan. Untuk kami (Saujana) tiada masalah dengan apa saja lagu dipilih bagi projek khas ini.

"Apa yang kami mahu dan utamakan ialah keserasian vokal dalam menyanyikan lagu duet. Ditambah lagi, kerjasama kami dengan penyanyi wanita yang semestinya ada perbezaan pada 'tone' suara.

"Alhamdulillah, kerjasama Saujana dan Nana berjalan lancar ketika proses rakaman. Kini kami teruja dapat melancarkan semula 'nafas baharu' lagu Keluarga Bahagia 2023 kepada peminat yang berterusan memberikan sokongan," katanya.

Ditanya juga mengenai debarannya, Idzu berkata, dia ada rasa gementar kerana sudah lama tidak menyanyi. Jelasnya, apatah lagi vokalnya sekarang sudah banyak berubah memandangkan usia pun semakin meningkat.

Nana rai persahabatan

Hanya berselang dua tahun kemunculan di industri, Nana berkata, dia mengenali Saujana secara dekat ketika sama-sama terbabit sesi fotografi untuk majalah, surat khabar dan program TV. Katanya, dia mula menceburi nyanyian pada 1999.

"Kami sudah saling kenal dan berkawan lama. Jadi, apabila mendapat peluang untuk kerjasama ini, saya menerima dengan hati terbuka. Maklumlah, bekerja semula dengan kawan-kawan dan meraikan persahabatan kami.

"Saya hanya mampu meluahkan rasa bertuah kerana sebelum ini melihat kumpulan nasyid lain memilih bekerjasama dengan penyanyi lelaki untuk rakaman semula lagu mereka. Tapi, Saujana pula memilih saya dan memberi kepercayaan.

"Sebenarnya saya membesar dengan lagu Keluarga Bahagia ini kerana di sekolah dulu, kalau masuk pertandingan saya mesti memilih untuk menyanyikannya. Sekarang saya dapat peluang merakamkan dengan Saujana pula.

"Secara peribadi juga, lagu Keluarga Bahagia adalah kegemaran saya. Jadi, saya berharap peminat Saujana dapat menerima kolaborasi kami dengan baik. Saya sudah memberikan sepenuh komitmen untuk lagu ini," katanya.

Lagu Keluarga Bahagia 2023 yang pernah dirakamkan Saujana 26 tahun lalu dilancarkan baru-baru ini. Ia boleh distrim di semua pelantar muzik popular, manakala muzik video baharu bersama Nana yang dimuat naik di YouTube Malaysia kini 'trending'#13.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 6:00 AM