Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Sebanyak 259 kes kematian membabitkan orang kena tahan (OKT) di dalam tahanan polis direkodkan sejak 2000 hingga awal 2015.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya memandang serius kejadian terbabit dan sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Berkaitan siasatan kejadian terbabit, inkues bagi 82 kes kematian OKT dalam tahanan polis selesai dibuat.

"Sebanyak 12 kes inkues masih berjalan, 100 kes sudah diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), 34 kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, 10 kes dirujuk kepada Majistret, 16 kes masih dalam siasatan dan lima kes lagi dibuat didakwa di mahkamah," katanya menjawab soalah G Manivanan (PKR-Kapar) di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Manivanan bertanya soalan berkaitan bilangan kes inkues membabitkan kematian OKT dalam tahanan polis serta jumlah kes anggota polis di dakwa di mahkamah bagi kesalahan menyebabkan kematian OKT terbabit.

Menurut Wan Junaidi, dalam tempoh 2000 higga 2015, tiga anggota polis turut didakwa di mahkamah di atas kesalahan kematian OKT.

"Pada 27 Oktober 2004, seorang anggota polis dituduh dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan pada 20 Januari 2009, seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

"Pada 5 Jun 2013, empat anggota polis dituduh di mahkamah berkaitan kes ini dan ia masih dalam perbicaraan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 1:56 PM