Kuala Lumpur: Sebanyak 259 kes kematian membabitkan orang kena tahan (OKT) di dalam tahanan polis direkodkan sejak tahun 2000 hingga awal 2015.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan sudah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Berkaitan siasatan kejadian terbabit, inkues bagi 82 kes kematian OKT dalam tahanan polis selesai dibuat.

“Sebanyak 12 kes inkues masih berjalan, 100 kes diputuskan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA), 34 kes dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, 10 kes dirujuk kepada majistret, 16 kes masih dalam siasatan dan lima kes lagi didakwa di mahkamah,” katanya menjawab soalan G Manivanan (PKR-Kapar) di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Manivanan menanyakan soalan berkaitan bilangan kes inkues membabitkan kematian OKT dalam tahanan polis serta jumlah kes anggota polis didakwa di mahkamah bagi kesalahan menyebabkan kematian OKT terbabit.

Menurut Wan Junaidi, dalam tempoh 2000 hingga 2015, tiga anggota polis turut didakwa di mahkamah atas kesalahan kematian OKT.

“Pada 27 Oktober 2004, seorang anggota polis dituduh dan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan pada 20 Januari 2009, seorang anggota polis dijatuhi hukuman penjara tiga tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 9:27 AM