MOHD Rafee menunjukkan salinan laporan polis berhubung insiden ejen pusat mengundi PH diarah keluar. FOTO NSTP
MOHD Rafee menunjukkan salinan laporan polis berhubung insiden ejen pusat mengundi PH diarah keluar. FOTO NSTP
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis selepas seorang ejen pusat mengundi parti itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendahara Seri Maharaja, di sini, diarah keluar dari saluran mengundi selama lebih 30 minit, pagi tadi.

Calon PH Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Molek Mohd Rafee Ibrahim mendakwa insiden itu berlaku sekitar 10 pagi tadi apabila ejen pusat mengundinya diarah keluar oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM) dengan alasan sudah bertugas melebihi tempoh dua jam.

Mohd Rafee berkata, arahan KTM itu bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), sekali gus menggesa pihak berkuasa menyiasat kemungkinan salah guna kuasa dan penipuan berlaku ketika ketiadaan ejen PH dalam saluran mengundi itu.

"Satu laporan di daerah mengundi Kandang dibuat selepas ejen tempat mengundi saya diarah keluar daripada saluran mengundi atas alasan tempoh bertugas dua jam sudah berakhir.

"Isunya KTM tidak faham undang-undang kerana Akta 5 memperuntukkan ejen kita boleh bertugas minima dua jam. Adakah KTM tidak faham akta atau ia sengaja dibuat?

"Saya harap pihak polis menyiasat perkara ini, dan pasukan undang-undang PH juga akan berbincang untuk meneliti tindakan lanjut," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PH di Dun Ayer Molek di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Penerangan Pusat yang juga Ketua Unit Perundangan PKR G Manivanan.

Mohd Rafee turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memastikan KTM yang bertugas memahami bidang kuasa dan peruntukan undang-undang bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berlaku.

"Jika ada isu berbangkit, KTM sepatutnya hentikan proses mengundi sementara bagi mendapat pengesahan untuk berlaku adil kepada semua pihak.

"Dalam kes ini, ejen kami tiada dalam saluran mengundi selama lebih 30 minit. Dalam tempoh itu, pelbagai perkara boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, Manivanan yang juga peguam menjelaskan, Seksyen 14 (1A) Akta 5 memperuntukkan ejen tempat mengundi perlu bertugas sekurang-kurangnya dua jam, dan penggantinya hanya boleh masuk ke tempat mengundi apabila tamat tempoh berkenaan.

"Maksudnya, jika ejen itu bertugas bermula 8 pagi dia wajib menjalankan tugas sekurang-kurangnya dua jam sehingga 10 pagi.

"Jika nak teruskan selepas 10 pagi, ejen tempat mengundi hanya perlu maklumkan kepada KTM, dan teruskan sehingga 12 tengah hari. Sebarang pertukaran ejen adalah selepas selang dua jam itu," katanya.

Manivanan berkata, pihaknya sudah menghubungi pegawai pengurus (RO) serta SPR Melaka dan mengakui berlaku kekhilafan di pihak SPR.

"Kita akan teliti langkah selanjutnya, bergantung pada tahap kerjasama SPR dengan pihak kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 November 2021 @ 2:34 PM