SEORANG lelaki tidur antara khemah yang didirikan aktivis prodemokrasi di tengah Hong Kong, semalam.
SEORANG lelaki tidur antara khemah yang didirikan aktivis prodemokrasi di tengah Hong Kong, semalam.

Hong Kong: Aktivis prodemokrasi, di sini, semalam menangguhkan undian mengenai langkah mereka seterusnya dalam tunjuk perasaan yang diadakan sejak sebulan lalu, beberapa jam sebelum undian itu bermula.

Kenyataan dikeluarkan kumpulan utama yang terbabit dalam tunjuk perasaan berkenaan menyatakan, penangguhan itu dipersetujui kerana terdapat perbezaan idea mengenai format undian serta beberapa perkara berkait.

Undian dirancang dilakukan menerusi telefon bimbit sepatutnya diadakan semalam dan hari ini untuk mencari cara mereka bertindak balas terhadap tawaran kerajaan yang bertujuan mengakhiri tunjuk perasaan selepas ia melumpuhkan beberapa jalan raya di bandar utama.

Puluhan ribu penduduk Hong Kong berarak di jalan raya bandar raya berkenaan akhir September lalu untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keengganan China membenarkan pilihan raya bebas di bekas tanah jajahan Britain itu.

Beijing bertegas menyatakan dan mendesak calon pilihan raya 2017 dipilih jawatankuasa pro-China.

Penunjuk perasaan yang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini mendorong pemimpin demonstrasi itu untuk mengambil langkah mengekalkan momentum.

Pertempuran juga meletus dengan aktivis pro-China dan polis.

“Kami rasa rancangan mengadakan pengundian ini dibuat tergesa-gesa. Perbincangan yang diadakan tidak mencukupi. Kami mengambil keputusan menangguhkannya tetapi ia tidak bermakna bantahan ini sudah berakhir,” kata pengasas bersama kumpulan Occupy Central, Benny Tai semalam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:06 AM