Jakarta: Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla memberi amaran bahawa tindakan membayar wang kepada sindiket penyeludupan manusia adalah satu bentuk rasuah.

Jusuf mengeluarkan amaran itu ketika Australia dituduh membayar sejumlah wang supaya bot yang membawa pencari suaka politik ke negara itu berpatah balik.

Kapten dan lima kru sebuah bot yang membawa pendatang dari Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka mendakwa dibayar setiap seorang AS$5,000 (RM18,783) untuk berpatah balik ke Indonesia.

Ketegangan antara kedua negara semakin memuncak selepas Perdana Menteri Australia, Tony Abbbot enggan menafikan tuduhan itu dan menyebabkan Jakarta meminta penjelasan dari Canberra.

Jusuf berkata, sekiranya benar bayaran itu dibuat, ia adalah satu bentuk rasuah.

“Ini adalah satu kesalahan yang dilakukan oleh individu yang memberi rasuah termasuk sebuah negara.

“Tindakan seperti ini menyalahi kod etika hubungan antara negara,” katanya yang dipetik agensi berita Antara.

Bagaimanapun, kata beliau, Jakarta mahu mengesahkan perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Sebelum ini, Menteri Luar Australia, Julie Bishop menyalahkan Indonesia kerana tidak menjaga sempadan negara mereka dengan baik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 9:07 AM