Reuters

Sydney

Perdana Menteri Tony Abbot semalam berkata, jutaan rakyat negara itu ‘mual’ dengan kemungkinan dua warga Australia ditembak mati atas kesalahan dadah di Indonesia.

Pemimpin Australia itu juga memberi amaran akan mengambil tindakan diplomatik lebih tegas jika pihak berkuasa Indonesia meneruskankan hukuman itu terhadap Andrew Chan dan Myuran Sukumaran.

“Jutaan rakyat mual dengan apa yang akan berlaku di Indonesia. Sekiranya hukuman itu diteruskan, dan saya harap ia tidak berlaku, kami sudah pasti mencari jalan untuk menunjukkan rasa kurang senang kami,” kata Abbot ketika diwawancara rangkaian televisyen Channel Ten.

Chan, 31, dan Sukumaran, 33, dijangka menjalani hukuman itu bila-bila masa minggu ini selepas didapati bersalah cuba menyeludup dadah dari Bali ke Australia.

Brazil dan Belanda memanggil pulang duta masing-masing sebagai membantah hukuman mati yang dilaksanakan ke atas rakyat mereka Januari lalu.

Abbot sehingga ini tidak menyatakan tindak balas yang akan diambil oleh Canberra. Bagaimanapun, Menteri Luar Julie Bishop minggu lalu memberi amaran, rakyat Australia akan memulaukan Indonesia, termasuk Bali jika Chan dan Sukumaran menjalani hukuman itu.

Abbot turut meningkatkan kritikannya terhadap Indonesia kerana cuba menyelamat nyawa rakyatnya yang berdepan dengan hukuman mati di negara lain tetapi pada masa sama menolak rayuan Australia.

“Apa yang kami minta Indonesia lakukan ialah sama dengan yang diminta oleh negara itu apabila rakyatnya berdepan dengan hukuman mati.

“Jika Indonesia berhak untuk meminta dan mengharapkan pengampunan, sudah pasti kita juga berhak untuk merayu dan mengharapkan pengampunan,” kata Abbot.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:09 AM