MUAR: Pesakit wanita yang didakwa lari daripada Hospital Miri, Sarawak Jumaat lalu disahkan tidak mempunyai Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-Cov), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, pesakit dari Brunei itu dilaporkan datang ke Miri dan mengalami demam biasa.

"Saya mahu beritahu ini bukan kes MERS-Cov dan dia bukan suspek MERS-Cov. Yang mengaitkan dia dengan penyakit itu hanya kerana dia baru balik daripada umrah dan mengalami batuk dan demam," katanya kepada pemberita di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan berita tentang seorang pesakit wanita lari dari Hospital Miri dan disyaki mempunyai MERS-Cov.

Bagaimanapun, katanya beliau telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Miri supaya menyemak semula rekod kesihatan pesakit wanita itu untuk memastikannya betul-betul bebas daripada sindrom itu.

Meskipun kes baru MERS-Cov di Korea Selatan didapati menurun, Dr Subramaniam menasihatkan agar lawatan ke negara itu ditangguhkan buat sementara waktu.

Beliau berkata, imbasan tetap dilakukan seperti biasa di pintu-pintu masuk negara ini bagi memastikan tiada penularan sindrom itu ke dalam negara.

"Sekiranya ada mereka yang didapati demam, mereka akan segera dikuarantin untuk pemeriksaan lanjut," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 10:05 PM