Umat Islam negara ini yang mengerjakan ibadah haji tahun ini dinasihatkan supaya tidak melawat ladang unta serta meminum susu haiwan itu bagi mengelak dijangkiti Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam turut menasihatkan jemaah haji negara ini supaya meningkatkan tahap kebersihan terutama ketika makan dan minum sepanjang berada di Tanah Suci.

“Jangkitan virus MERS-CoV boleh dielak dengan jemaah sentiasa mengikuti nasihat petugas Tabung Haji untuk kebaikan kesihatan jemaah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Kulim, semalam.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan sentiasa memantau perkembangan virus MERS-CoV dan akan memaklumkan pengurusan Tabung Haji jika ada sebarang keperluan.

Terdahulu, Subramaniam diberikan taklimat oleh pihak pengurusan hospital serta menghadiri dialog dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Hospital Kulim, Dr Fauziah Wahab. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2015 @ 8:15 AM