Kuala Lumpur: “Saya harap mereka yang berkenaan patuhilah arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak melawat ladang unta di Makkah, Arab Saudi kerana tidak mahu nasib yang menimpa arwah suami berlaku pada orang lain.”

Demikian harapan Nor Asiah Othman, 51, yang kehilangan suami, Kamarozzaman Jafri, akibat jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) selepas pulang dari Makkah untuk mengerjakan umrah 29 Mac tahun lalu.

Menurutnya, suaminya berusia 54 tahun ketika itu menyertai lawatan ke ladang haiwan berkenaan yang lazimnya menjadi salah satu program ditawarkan oleh agensi umrah ataupun haji di negara ini.

“Ketika mengerjakan umrah pada Februari tahun lalu, saya pun ada melawat ladang unta tetapi alhamdulillah tidak dijangkiti MERS-CoV, sebaliknya suami dijangkiti pada pakej umrah berasingan yang diikutinya sebulan kemudian bersama anak ketiga kami berusia 21 tahun.

“Kira-kira dua hari selepas pulang ke rumah di Kampung Bintang Laut, Batu Pahat, Johor, suami mengalami demam dan bisa pada kaki sebelum dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia tiga hari selepas itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini semalam.

Rabu lalu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dalam satu kenyataan meminta semua agensi pelancongan di negara ini menghentikan segera pakej umrah dengan lawatan ke ladang unta berikutan jangkitan MERS-CoV.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:21 AM