Aizat Sharif


JEMAAH haji dari Kedah yang mengalami gejala jangkitan MERS-CoV seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak dalam masa 14 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia dinasihatkan segera berjumpa dengan doktor dan sentiasa memakai penutup mulut dan hidung.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, langkah itu turut disarankan kepada mereka yang menunaikan umrah atau mengadakan lawatan ke mana-mana negara di rantau Timur Tengah selepas ini.

"Kita sentiasa bersiap sedia dalam mencegah dan mengawal penularan penyakit MERS-CoV sempena kepulangan jemaah haji Malaysia bermula akhir bulan ini terutama dalam memperkukuhkan langkah kesiapsiagaan berkaitan pencegahan dan tahap kawalan jangkitan.

"Pejabat Tabung Haji Kedah sudah memaklumkan bahawa jemaah haji yang bertolak melalui Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Alor Setar akan mula pulang melalui Madinah sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Kemudiannya jemaah pulang melalui 25 penerbangan dari KLIA ke LTSAH Alor Setar mulai 26 September hingga 1 Oktober hadapan," katanya hari ini.

Menurutnya, MERS-CoV adalah penyakit yang menyebabkan jangkitan pernafasan dengan gejala seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas.

"Antara langkah dijalankan termasuklah menjalankan saringan gejala jangkitan di setiap pintu masuk lapangan terbang antarabangsa.

"Langkah itu untuk mengesan sekiranya terdapat jemaah haji yang menunjukkan gejala jangkitan dan mereka akan dirujuk ke hospital," katanya.

Beliau berkata, selain itu juga, anggota kesihatan di lapangan terbang, hospital, klinik awam dan swasta sentiasa diarahkan mengamalkan langkah pencegahan jangkitan dan kawalan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti oleh penyakit itu.

Dr Norhizan berkata, individu yang berisiko mendapat jangkitan dan komplikasi penyakit itu ialah kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:58 PM