MESEJ di Twitter yang tular. GAMBAR ihsan Kementerian Kesihatan
MESEJ di Twitter yang tular. GAMBAR ihsan Kementerian Kesihatan
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan sahkan pesakit warga emas yang dimasukkan ke Hospital Putrajaya beberapa hari lalu adalah negatif Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-Cov).

"Ujian makmal dijalankan ke atas sampel milik pesakit tersebut didapati negatif MERS-CoV," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Pada Jumaat lalu, seorang pemilik Twitter berkongsi mengenai keadaan kesihatan datuk saudaranya yang tiba-tiba pengsan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menunaikan umrah di Tanah Suci dan mengesyaki ahli keluarganya itu dijangkiti MERS-CoV.

Katanya, kejadian jangkitan MERS-CoV yang mula dikesan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 2012 lagi dan sehingga kini, sejumlah 2,121 kes MERS-CoV disahkan menerusi ujian makmal dari seluruh dunia membabitkan 740 kematian.

Noor Hisham berkata, pihaknya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab wanita memaklumkan ahli keluarganya itu disyakit dijangkiti MERS-CoV di ruangan.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab menularkan maklumat tidak sahih (sehingga hampir 9,000 retweet) itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat dan ia amat dikesali.

Katanya, pihaknya ingin menegaskan bahawa penularan jangkitan MERS-CoV masih terus berlaku secara aktif membabitkan kes dari negara-negara di rantau Timur Tengah, khususnya Arab Saudi yang menyumbang kepada lebih 80 peratus daripada kes yang dilaporkan di seluruh dunia.

"Kementerian sentiasa memantau dengan rapi perkembangan jangkitan MERS-CoV secara berterusan lebih-lebih lagi apabila ramai rakyat Malaysia mengambil kesempatan untuk mengerjakan ibadah umrah semasa musim cuti sekolah yang panjang seperti sekarang ini.

"Pemantauan yang berterusan oleh kementerian bermula akhir 2012 sehingga kini. Berdasarkan rekod, lebih 3,000 orang dalam kalangan jemaah haji dan umrah serta pelawat yang melawat negara menunjukkan gejala MERS-CoV," katanya.

Katanya, ujian MERS-CoV yang dijalankan ke atas mereka kesemuanya didapati negatif kecuali kes yang pernah dilaporkan pada April 2014 membabitkan lelaki 50-an yang baru pulang daripada mengerjakan umrah.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sudah mengeluarkan nasihat kesihatan kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat Malaysia ketika berada di Tanah Suci dan selepas pulang ke Malaysia.

"Kami juga akan terus meningkatkan langkah-langkah dan siap siaga di semua peringkat kementerian bagi menghadapi potensi penularan jangkitan MERS-CoV di Malaysia.

"Kerjasama semua kementerian dan agensi berkaitan termasuk agensi pelancongan, jemaah umrah dan pelawat amat diperlukan bagi membantu Kementerian Kesihatan terus mencegah penularan penyakit ini ke dalam negara," katanya.

Katanya, maklumat terkini mengenai gejala penyakit MERS-CoV dan perkembangan semasa mengenai penyakit tersebut boleh diperolehi dengan melayari lawan sesawang Kementerian Kesihatan di http://www.moh.gov.my dan juga melalui Facebook CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness Response Centre).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 2:57 PM