Kuala Lumpur: Penyerang penuh kontroversi Faizal Shaari disahkan sudah bersedia sepenuhnya untuk mengemudi jentera serangan skuad The Speedy Tigers dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium, bermula 21 Jun ini.

Selepas dihimpit pelbagai masalah, pemain hoki paling berbakat itu kini kembali di landasan asal apabila pengendali negara Tai Beng Hai turut menyenaraikan namanya untuk dibawa ke Belgium, biarpun sebelum ini dia terlepas aksi jelajah persahabatan di Australia dan Eropah bulan lalu.

Sebelum ini, Faizal diketepikan daripada siri persiapan itu berikutan tahap kecergasannya yang tidak memuaskan selepas dia menghilangkan diri daripada kem negara selama sebulan namun kembali ke pangkuan pasukan Mac lalu.

“Dia (Faizal) sekarang sudah kembali ke prestasi asal dan berdasarkan komitmennya yang baik kami memberinya peluang dengan menyenaraikan namanya.

“Kami sudah melakukan ujian kecergasan Ahad lalu, dan kesemua 18 pemain itu menunjukkan keputusan terbaik, begitu juga Faizal.

“Ini peluang buatnya untuk membuktikan sesuatu di sana. Di samping itu, saya juga mempunyai banyak pilihan di jentera depan bagi merobek benteng lawan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Ketika ditanya mengenai pertemuan berdepan China pada aksi pertama nanti, jurulatih itu percaya pasukannya mampu meraih kemenangan meskipun sedar lawannya berjaya menampilkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

“China bukan lagi seperti dulu. Mereka semakin bagus tapi saya berharap keputusan akan memihak kepada kita,” katanya.

Pada saingan di Belgium nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan akan bertemu China pada aksi pertama 21 Jun ini diikuti pertemuan dengan Ireland (25 Jun), Belgium (26 Jun) dan Great Britain (28 Jun).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Jun 2015 @ 12:59 PM