Oleh Michelle Gun


Sering digosipkan bercinta dengan Datuk Rossa, Afgan menegaskan hubungannya dengan penyanyi Indonesia itu sekadar teman rapat.

Afgan atau nama sebenarnya Afgan Syahreza, 26, menjelaskan dia sering berkolaborasi dengan Rossa sejak mengenali penyanyi itu lima tahun lalu.

“Saya hanya menganggap Rossa sebagai kakak malah dia banyak berkongsi ilmu bagaimana menjadi penyanyi berjaya.

“Selain bekerjasama dalam beberapa projek, kami turut berduet,” katanya ketika menghadiri sidang media Konsert Suara Hati Afgan, kelmarin.

Biarpun rimas melayan pertanyaan peminat mengenai perkara itu, dia memilih bersikap tenang dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

“Ramai peminat meninggalkan komen di Instagram, tetapi saya tidak pernah ambil serius kata-kata mereka.

“Saya percaya perkara sebegini akan senyap dengan sendirinya. Buat masa ini saya hanya perlu pekakkan telinga,” katanya.

Mengulas lanjut konsert Suara Hati Afgan yang bakal berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 September depan, Afgan berkata, persembahan itu menampilkan kelainan kerana mempamerkan sisi lain dirinya yang berjiwa periang, bertenaga, dinamik dan romantis.

“Semua elemen ini akan digabungkan dalam satu persembahan dan sememangnya tidak sabar menghiburkan peminat apatah lagi ini konsert berskala besar pertama saya di Malaysia,” katanya.

Ujarnya lagi, 20 lagu bakal dipersembahkan malah Konsert Suara Hati Afgan turut dimeriahkan dengan kemunculan Rossa sebagai penyanyi undangan.

“Konsert ini akan dibahagikan kepada empat segmen yang berkisarkan kehidupan termasuk kesenangan, kesedihan dan keagamaan.

“Saya turut menyampaikan beberapa lagu tribute kepada penyanyi yang banyak memberi inspirasi kepada saya,” katanya.

Tambah Afgan, beberapa kejutan bakal menanti penonton dan salah satu daripadanya adalah persembahan yang diiringi tarian.

Kurang sesuai jadi juri X-Factor

Dalam perkembangan lain, Afgan bakal muncul sebagai juri program realiti X-Factor Indonesia yang akan bersiaran pada September ini.

Bagaimanapun, kehadiran Afgan yang menggantikan tempat Anggun dipertikai ramai kerana berasakan dia belum cukup berpengalaman untuk mengalas tanggungjawab itu.

“Ini kali pertama saya menjadi juri program realiti dan ramai mempersoalkannya kerana masih muda. Mereka berasakan tempat itu wajar diisi penyanyi lebih berpengalaman.

“Kritikan itu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya sebaliknya saya nekad membuktikan mampu menggalas amanah ini dengan baik,” katanya.

Tiket menyaksikan konsert Afgan berharga RM125 hingga RM445 boleh dibeli menerusi laman sesawang www.mytickets.asia mulai 16 Jun ini.

Untuk mengetahui maklumat lanjut konsert berkenaan bolehlah melayari www.netzahproductions.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:37 AM