Oleh Ayusliza Azizan

Shah Alam: Apeg System Sdn Bhd (Apeg System), menyasarkan perolehan sebanyak RM2 juta tahun ini dengan 2,000 kenderaan dijangka melanggan perkhidmatan program waranti iaitu Apeg Warranty (APEG) selain pengesahan pembabitan 10 syarikat pemilik permit import (AP).

Pengarah Urusannya, Wahid Lasiman berkata, program waranti itu direka untuk perlindungan meliputi aspek dan komponen utama kenderaan seperti enjin, transmisi serta ECU (Unit Kawalan Elektronik) untuk tempoh selama dua tahun khusus untuk pembeli kenderaan import terpakai dari Jepun dan United Kingdom.

Beliau berkata, keistimewaan program waranti itu adalah ia berlandaskan prinsip Al-Mudharabah atau berkongsi keuntungan dan terbuka kepada semua dengan menawarkan harga premium berpatutan iaitu sama dengan kadar pasaran ketika ini iaitu RM1,000 setahun.

“Pembeli akan menerima agihan keuntungan jika tiada tuntutan dilakukan. Terdapat 10 syarikat turut bekerjasama menawarkan program waranti ini daripada 100 syarikat pemegang AP di negara ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Sistem Waranti Kenderaan oleh Pengerusi Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Zainuddin Abd Rahman di Zaibar Automobile Industries Sdn Bhd, di sini.

Katanya, kenderaan import terpakai biasanya hanya diberi jaminan untuk tempoh terhad dan ini menyebabkan pembeli bimbang dengan keupayaan serta kualiti kereta terbabit.

“APEG adalah penyelesaiannya kerana dengan waranti ini kenderaan mereka akan dilindungi dan lebih menarik mereka juga boleh membawa kenderaan mereka ke mana-mana bengkel untuk dibaik pulih dan wakil kami akan ke sana untuk menentukan nilai kerosakan serta kos,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:35 AM