Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Sering kali kita mendengar panggilan manja antara pasangan tidak kira yang masih di fasa percintaan, sudah mengikat tali pertunangan atau perkahwinan. Perbualan antara pasangan sememangnya kedengaran lebih mesra berbanding hubungan biasa kerana wujudnya panggilan penuh kasih sayang.

Sebagai pasangan suami isteri, panggilan manja khusus buat diri pasangan akan membuatkannya rasa lebih istimewa dan dihargai. Biarpun hanya perkataan, panggilan manja membuatkan hubungan menjadi lebih bermakna dan bahagia.

Panggilan seperti ‘baby’, ‘sayang’ atau ‘dear’ mungkin tiada makna pada orang sekeliling, malah mungkin membuatkan kita berasa geli mendengarnya, namun ia mempunyai kekuatan tersendiri dalam hubungan pasangan kerana ia menunjukkan mereka saling menghargai hingga memberikan panggilan istimewa yang tidak dipanggil pada orang lain.

Menurut satu kajian mengenai pasangan yang dijalankan majalah Journal of Social and Personal Relationships yang diterbitkan di New York, Amerika Syarikat, panggilan sayang yang kadangkala kedengaran lucu atau dibuat-buat membuatkan hubungan antara pasangan menjadi lebih kukuh.

Malah, kekerapan panggilan manja diucapkan memberi impak lebih besar dalam hati pasangan dan membuatkan mereka berasa lebih bahagia untuk kekal dalam sesebuah hubungan.

Memanggil nama manja dan bercakap dalam bahasa romantik secara tidak langsung menyuntik elemen positif dalam perhubungan. Hati menjadi lebih berbunga riang dan perasaan negatif kurang ‘singgah’ dalam diri masing-masing.

Mengeluarkan perkataan sayang kepada pasangan tidak memerlukan kos dan sepatutnya menjadi cara paling mudah menjaga dan membuatkan pasangan bahagia.

Hubungan yang erat diterjemahkan dalam bahasa yang lembut dan romantik, malah bahasa sama juga boleh digunakan untuk mengeratkan perhubungan.

Panggilan manja juga antara cara pasangan meyakinkan diri dan pasangan bahawa mereka berada dalam hubungan yang eksklusif, kukuh dan stabil.

Apabila orang sekeliling mendengar perbualan antara pasangan dan mendengar panggilan manja disebut, ia secara tidak langsung membuatkan orang sekeliling sedar ia adalah hubungan yang komited.

Panggilan manja tidak semestinya seperti ‘sayang’ tetapi ia juga boleh dalam bentuk yang disukai pasangan, biarpun tidak memberi makna atau difahami orang lain.

Secara dasarnya, pasangan gemar memanggil orang yang mereka cintai dengan kenangan yang manis. Ia mungkin menunjukkan perasaan gembira dan cinta yang selalunya dikaitkan dengan kenangan manis.

Panggilan juga berkaitan dengan kenangan bersama dilalui pasangan dan memori indah yang pernah dirasakan bersama. Apabila panggilan itu disebut, secara tidak sedar ia mengingatkan kembali kepada kenangan bahagia itu dan membuatkan pasangan tersenyum.

Elemen membahagiakan biarpun sekecil mana amat penting dalam hubungan apatah lagi pasangan suami isteri perlu melayari alam perkahwinan dalam tempoh bukan sekejap, tetapi sepanjang hayat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 12:32 PM